Pasar pagi Sungai Bayor kekalkan tradisi kampung

Pasar pagi Sungai Bayor kekalkan tradisi kampung

LOH Sze Yee ketika melawat Pasar Pagi Jumaat Sungai Bayor di Selama, Perak. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Kerajaan Perak menyalurkan RM4.55 juta bagi memperkukuh pembangunan sektor pelancongan di Daerah Selama termasuk Pasar Pagi Jumaat Sungai Bayor yang menjadi tarikan utama pelancong.
Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata RM250,000 diperuntukkan bagi penyelenggaraan termasuk pembinaan tandas awam, manakala RM3.5 juta lagi untuk naik taraf kawasan pelancongan seperti Lata Air Putih.
“Kerajaan negeri bersama Persekutuan sedang giat membangunkan sektor pelancongan di Selama yang mempunyai banyak lokasi menarik serta masih mengekalkan keaslian suasana kampung,” katanya sewaktu melawat Pasar Pagi Sungai Bayor, di sini semalam.

Pasar itu diiktiraf Buku Rekod Malaysia (MBOR) pada September 2025 sebagai pasar pagi terpanjang di Malaysia dengan jarak 2.32 kilometer itu, kini menempatkan kira-kira 500 gerai dan beroperasi setiap Jumaat.

Terdapat keperluan kemudahan moden seperti tandas awam yang sedang disediakan secara sementara memandangkan jumlah pengunjung setiap hari Jumaat dianggarkan antara 3,000 hingga 5,000 orang.

Sze Yee berkata, antara pendekatan dilaksanakan di pasar itu ialah pembinaan pintu gerbang dan arca bagi mengekalkan identiti asal kawasan pasar tersebut.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Selama, Nor Akmal Yang Ghazali berkata, pengiktirafan MBOR menjadi pencetus kepada usaha memperkukuh daya tarikan Pasar Pagi Sungai Bayor sebagai produk pelancongan berimpak tinggi.

“Apabila ia menjadi tular, secara tidak langsung ia membantu mempromosikan Selama ke peringkat lebih luas. Pengunjung yang ramai, dapat memberi limpahan ekonomi yang akan dirasai oleh semua termasuk peniaga kecil, pengusaha makanan dan pengusaha inap desa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja Daerah Selama, Mohammad Ezaiyuhan Dr. Awang berkata, pasar berkenaan mempunyai sejarah sejak awal 1960-an dan melalui tiga lokasi sebelum kekal di tapak yang ada hari ini.

Walaupun generasi asal kebanyakannya telah tiada, legasi perniagaan diteruskan oleh anak dan cucu serta peniaga baharu, dengan lebih 50 peratus peniaga terdiri daripada golongan muda bawah usia 40 tahun.

“Keunikan pasar itu turut terserlah melalui penyertaan peniaga dari tiga negeri iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang, selain kepelbagaian jualan merangkumi hasil pertanian, ikan sungai, makanan tradisional serta produk moden, namun identiti asal suasana kampung masih dikekalkan sebagai daya tarikan utama pengunjung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN