Tapak banjir, peniaga pasar pagi buka gerai tepi jalan

Tapak banjir, peniaga pasar pagi buka gerai tepi jalan

Pasar banjir
PENIAGA pasar pagi di Jalan Paip membuka gerai di tepi jalan susulan tapak asal dinaiki air akibat limpahan Sungai Binjai, dekat Meru di Klang, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kira-kira 200 peniaga pasar pagi dekat Jalan Paip, Meru di sini, hari ini terpaksa bersesak membuka gerai di tepi jalan susulan tapak asalnya di sebelah laluan tersebut tenggelam akibat banjir.

Seorang peniaga sayur-sayuran, Siti Rokiah Nur Muhammad, 52, berkata dia datang dari Jeram pada awal pagi tidak menyangka kawasan tersebut sudah dinaiki air menyebabkan dia perlu berebut ruang dengan peniaga lain.

“Saya sudah sampai dengan sayur, kunyit, halia untuk dijual, takkanlah hendak patah balik pulang ke rumah. Terpaksalah berebut untuk dapatkan sedikit ruang di tepi jalan.

“Memang mencabarlah bila jadi macam ini. Bukan sekali, banyak kali juga kejadian sebegini jadi. Cuma pelanggan kurang, sebab tiada tempat parkir kereta, ruang sempit dan ditambah pula dengan hujan,” katanya ketika ditemui.

Tinjauan Utusan Malaysia di sepanjang jalan tersebut mendapati berlaku limpahan Sungai Binjai sehingga menyebabkan sebahagian laluan digenangi air, namun masih boleh dilalui kenderaan ringan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kawasan sudah pun ditenggelami air seperti di Jalan Cempaka sedalam hampir 0.5 meter dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Seorang lagi peniaga, Aiman Nazrul, 22, memberitahu, tapak asal pasar pagi itu merupakan kawasan yang sudah dinaik taraf dan ditar baru-baru ini menyebabkan keadaan banjir tidak seburuk seperti sebelum ini.

”Mungkin pihak berkuasa tinggikan sedikit tapak tersebut yang terletak berdekatan dengan Sungai Binjai. Dahulu, bila banjir di kawasan tersebut parasnya dalam.

Walaupun sudah naik taraf, tetapi tetap juga banjir. Kami peniaga-peniaga terpaksa buka payung di tepi jalan dan berebut sesama sendiri. Siapa dapat boleh berniaga, yang tak dapat terpaksa cari tempat lain atau pulang,” ujarnya.

Semalam, akhbar ini melaporkan ribut tropika Senyar dijangka membawa impak hujan lebat berterusan kepada negara bermula tengah malam tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, antara negeri yang dijangka menerima impak ribut tersebut ialah Perak, Selangor dan sebahagian kawasan di Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN