Operasi cari Jaslinda diteruskan, bomba guna dron - Utusan Malaysia

Operasi cari Jaslinda diteruskan, bomba guna dron

GAMBAR Jaslinda Saludin di Kem Batu Core yang dirakam pagi 24 Mei lalu sebelum dia gagal dikesan. - GAMBAR IHSAN JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Operasi mencari dan penyelamat pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak Sabtu minggu lalu dteruskan hari ini termasuk penggunaan dron.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, penggunaan dron bagi tujuan pengawasan dan pencarian di lokasi melibatkan cerun, tebing dan lokasi yang sukar dimasuki oleh pasukan penyelamat.

Menurutnya, setakat pukul 1 petang tadi, 12 anggota telah dibawa keluar dan 12 lagi meneruskan operasi pencarian.

“Terdapat empat anggota penyelamat akan dihantar sebentar lagi menjadikan jumlah seramai 16 anggota telah dihantar melalui pesawat AW139.

“Sementara itu, jumlah mereka (pasukan penyelamat) yang dibawa keluar melalui pesawat adalah 19 orang yang masuk pada Rabu lalu. Bersama-sama pasukan penyelamat hari ini ialah seorang pengendali dron bagi tujuan pengawasan dan pencarian di lokasi melibatkan cerun, tebing dan lokasi yang sukar dimasuki oleh pasukan penyelamat,” katanya di sini hari ini.

Katanya lagi, operasi turut melibatkan pergerakan pasukan PGA dan MGP yang masuk melalui jalan darat di Pos Musoh menuju ke Sungai Ayer Busok melibatkan keanggotaan seramai 18 orang.

Jaslinda dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.

Difahamkan, mangsa yang cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki yang mengalami masalah pernafasan dan seorang malim gunung di Kem Batu Core.

Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN