Op Tiris 4.0 rekod rampasan lebih RM23.1 juta  - Utusan Malaysia

Op Tiris 4.0 rekod rampasan lebih RM23.1 juta 

AZMAN Adam (dua dari kanan) meninjau program Jualan Rahmah semasa hadir sempena Hari Penguatkuasa Ke-54 Peringkat KPDN Negeri Terengganu di Wakaf Tapai, Marang, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Operasi Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dilaksanakan bagi membanteras ketirisan dan penyelewengan barangan kawalan menunjukkan keberkesanan apabila merekodkan rampasan bernilai lebih RM23.1 juta di seluruh negara sehingga semalam.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Adam berkata, sepanjang tempoh operasi itu, sebanyak 42,894 pemeriksaan dijalankan melibatkan pelbagai premis dan lokasi strategik di seluruh negara.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 556 kes direkodkan membabitkan penyelewengan barangan kawalan seperti diesel, petrol dan gas petroleum cecair (LPG).

“Seramai 161 individu turut ditahan bagi membantu siasatan manakala nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM23,172,355.91.Daripada keseluruhan kes direkodkan, penyelewengan melibatkan diesel mencatat jumlah tertinggi iaitu 249 kes diikuti petrol sebanyak 119 kes,” katanya pada majlis sambutan Hari Penguatkuasa Ke-54 peringkat KPDN Negeri Terengganu di sini.

Azman berkata, berdasarkan statistik semasa, Sarawak merekodkan jumlah kes tertinggi melibatkan penyelewengan diesel iaitu sebanyak 91 kes diikuti Sabah dan Johor.

Katanya, bagi kes melibatkan petrol pula, Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi diikuti Sabah manakala Sabah turut merekodkan kes tertinggi bagi penyelewengan LPG sebelum diikuti Kedah.

“Secara keseluruhannya, hampir semua kategori kes tertinggi direkodkan di Sabah dan perkara itu menunjukkan keperluan kepada kerjasama lebih menyeluruh antara pelbagai kementerian serta agensi penguat kuasa.

“Sehubungan itu, KPDN sentiasa bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi berkaitan termasuk dalam aspek perkongsian maklumat risikan bagi memastikan isu ketirisan dan penyeludupan dapat ditangani dengan lebih berkesan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara pelbagai agensi penguat kuasa dengan KPDN menerajui operasi di sektor daratan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN