OKU cacat penglihatan teruja sertai ibadah korban bersama Metra

OKU cacat penglihatan teruja sertai ibadah korban bersama Metra

AHLI Kelab Media Perdana Terengganu (Metra) bergambar kenangan bersama ahli Persatuan Kembara Orang Pekak dan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) semasa program ibadah korban di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan pekak teruja apabila diberi peluang menyertai program ibadah korban bersama Kelab Media Perdana Terengganu (Metra) di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, Seberang Takir, di sini, semalam.

Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu, Mohd. Fauzi Mansor berkata, program itu membuka ruang kepada komuniti OKU untuk turut sama terlibat secara langsung dalam pelaksanaan ibadah korban.

Katanya, meskipun mempunyai kekurangan dari segi penglihatan, ia bukan penghalang mereka membantu dalam urusan penyediaan dan pengagihan daging korban.

“Ahli-ahli kami sangat teruja dapat bersama-sama Metra dalam program ibadah korban ini. Ada dalam kalangan OKU penglihatan membantu memotong daging dan mereka dibimbing oleh sukarelawan sepanjang proses itu berlangsung.

“Program seperti ini membuktikan komuniti OKU juga mampu melaksanakan kerja-kerja ibadah korban seperti masyarakat lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Mohd Fauzi berharap masyarakat lebih terbuka dan terus memberi peluang kepada golongan OKU untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kembara Orang Pekak Terengganu, Mohd. Asali Razali Ali berkata, kira-kira 13 ahli Persatuan Kembara Orang Pekak Terengganu hadir bagi menyertai program berkenaan.

Katanya, mereka bergotong-royong memotong dan mengagihkan daging korban bersama peserta lain dalam suasana penuh harmoni dan semangat kebersamaan.

“Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat ibadah korban, malah menjadi platform mendekatkan masyarakat dengan komuniti OKU,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN