TELUK INTAN: Hampir 2 juta rakyat Malaysia memperoleh manfaat daripada skim perlindungan kesihatan, mySalam sejak diperkenal kerajaan pada 2019 dengan pembayaran tuntutan lebih RM1.47 bilion.
Ketua Skim Perlindungan mySalam, Syuhaib Ithnin berkata, sejak diperkenalkan, inisiatif kerajaan itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan golongan sasar yang memerlukan.
Bagaimanapun kata Syuhaib, pihaknya akan terus ‘bergerak’ ke seluruh negara bagi menyebar luas lagi inisiatif berkenaan bagi memastikan tiada kumpulan ekonomi B40 tercicir daripada bantuan kerajaan.
“Sasaran mySalam adalah untuk membantu 10 juta golongan B40 yang layak menerima manfaat ini, kita hari-hari buat siaran langsung di media sosial untuk membuat hebahan kepada golongan sasar.
“Sebelum ini, kita banyak menumpang agensi-agensi kerajaan untuk buat, namun kali ini kami buat kelainan dengan memperkenalkan program sendiri iaitu Karnival 3K (kewangan, kesihatan dan kebajikan).
“Kami merancang untuk membawa Karnival 3K ini ke seluruh negara bagi memastikan mandat kerajaan menerusi mySalam dapat disalurkan dan mengelak golongan B40 yang layak tercicir.
“Maklum balas masyarakat kepada program ini juga cukup baik, mungkin mereka sebelum ini tidak tahu cara untuk buat tuntutan,” katanya selepas Karnival 3K di Dewan Komuniti Kampung Orang Asli Makmur, hari ini.
Karnival berkenaan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dan turut dihadiri wakil lantikan Great Estern Takaful Berhad, Jasveen Kaur Marne dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia, Mohd. Radzuan Mohamed.
Mengulas lanjut, Syuhaib berkata, tuntutan manfaat mySalam cukup mudah kerana pemohon tidak perlu membuat sebarang pendaftaran dan juga tanpa melibatkan sebarang bayaran caruman.
“Manfaat mySalam tidak perlu mendaftar, tidak macam insuran lain kerana kami sudah ada maklumat pemohon daripada LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) menerusi program STR (Sumbangan Tunai Rahmah),” katanya.
Menurut Syuhaib, antara faedah yang diterima individu melalui skim itu adalah mendapat RM50 sehari sekiranya ditahan di wad hospital kerajaan selama 14 hari dan dapat mendapat RM8,000 sekali seumur hidup sekiranya disahkan menghidap salah satu daripada 50 penyakit kritikal.

Dalam Karvival 3K di Dewan Komuniti Kampung Orang Asli Makmur, mySalam turut membawa penerima manfaat skim itu iaitu, Harun Tahir atau lebih dikenali sebagai Helmi Gimmick untuk berkongsi pengalaman selepas ditimpa musibah kesihatan.
Menurut Helmi, bantuan yang diterima menerusi manfaat mySalam sebanyak RM8,000 sangat membantu kerana saya berdepan kekangan kewangan untuk berjuang melawan kanser buah pinggang tahap empat.
Katanya, bantuan sumbangan kewangan itu sememangnya tepat pada waktunya kerana dirinya ketika itu baru sahaja keluar dari hospital dan bakal menyambut lebaran.
“Artis macam kami ini, pendapatan bergantung kepada kerja, jika tiada kerja, tiada pendapatan. Terima kasih kepada mySalam kerana memudahkan golongan seperti saya ini untuk menerima manfaat kerajaan.
“Lebih manis lagi, saya bukan sahaja mendapat RM8,000 itu sahaja kerana saya juga mendapat lagi bantuan RM50 sehari untuk tempoh saya ditahan dihospital,” katanya.- UTUSAN










