MACHANG: Perjalanan empat sekeluarga ke sekolah bertukar tragedi apabila motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah kereta dipandu seorang guru dalam kemalangan di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Intan, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, seorang pelajar tingkatan dua, Muhammad Muskir Rosli, 14, bersama adiknya, Mas Siti Rosnani, 7, serta dua anak saudara mereka, Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, cedera parah.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md. Nor berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda Jazz dipandu wanita berusia 39 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Machang menuju ke Kuala Krai.
Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda C100 yang dinaiki empat mangsa dipercayai tiba-tiba membelok ke kanan untuk memasuki simpang di sebelah kanan jalan.
“Tindakan itu menyebabkan motosikal tersebut merempuh bahagian sisi hadapan kanan kereta yang ketika itu sedang melalui laluannya yang sah.
“Akibat kemalangan itu, keempat-empat mangsa mengalami kecederaan parah manakala pemandu kereta dan seorang penumpang tidak cedera,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azuhar memberitahu, Muhammad Muskir merupakan pelajar SMK Seri Intan manakala adik serta dua anak saudaranya merupakan murid Sekolah Kebangsaan Kampung Pek, di sini.
Katanya, semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN










