MBSJ laksana operasi bersapadu periksa premis perniagaan

MBSJ laksana operasi bersapadu periksa premis perniagaan, makanan

MBSJ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) baru-baru ini telah melaksanakan Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Perniagaan dan Premis Makanan di sekitar Jalan Utama 2/1 dan 2/2, Taman Perindustrian Puchong Utama, Puchong.

Ia sebagai usaha berterusan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang, meningkatkan tahap kebersihan awam serta memastikan pematuhan syarat lesen dalam kawasan pentadbiran MBSJ.

Operasi itu melibatkan kerjasama pelbagai jabatan dalaman MBSJ iaitu Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Pengurusan Alam Sekitar, Jabatan Perancangan Bandar, Jabatan Bangunan dan Jabatan Pelesenan bersama agensi luar termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Indah Water Konsortium (IWK).

“Hasil operasi mendapati terdapat premis yang gagal mematuhi syarat lesen perniagaan, tahap kebersihan premis yang tidak memuaskan, pengurusan sisa yang lemah serta pelbagai kesalahan lain di bawah undang-undang kecil MBSJ.

“Secara keseluruhan, sebanyak 22 Notis Tawaran Kompaun (NTK) telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen sah, kesalahan iklan serta pelanggaran syarat lesen perniagaan.

“Selain itu, empat tindakan sitaan turut dilaksanakan membabitkan peralatan penjaja dan barangan premis, manakala sebuah premis telah diarahkan tutup kerana gagal mematuhi peruntukan undang-undang kecil yang ditetapkan oleh MBSJ,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat ,Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ.

MBSJ

Kenyataan itu menyebut, dalam pemeriksaan premis makanan, sebanyak 15 premis telah diperiksa dengan lima premis diarahkan tutup selama 14 hari selepas memperoleh Gred D berikutan tahap kebersihan yang tidak memuaskan termasuk penemuan najis tikus, stor makanan yang kotor, pengendalian makanan tidak mengikut piawaian dan kegagalan menyediakan dokumen kawalan makhluk perosak.

Sebanyak enam NTK turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk kegagalan memakai apron dan penutup kepala, tiada pemasangan grease trap, premis tidak diselenggara dengan bersih serta pengendali makanan gagal mendapatkan suntikan anti-tifoid.

MBSJ turut melaksanakan tindakan merobohkan binaan ramp dan slab tanpa kebenaran melibatkan sebuah premis cuci kereta dan sebuah premis kedai runcit.

MBSJ

Sementara itu, MBSJ telah memeriksa 57 premis daripada keseluruhan 79 premis di kawasan operasi dan mengeluarkan empat NTK berkaitan kesalahan pengurusan sisa serta pencemaran kawasan industri.

Pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengambil tindakan kompaun terhadap beberapa premis atas kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957 dan Akta Syarikat 2016.

Sehubungan itu, MBSJ menyeru semua pemilik premis dan pengusaha perniagaan agar sentiasa mematuhi syarat lesen yang ditetapkan, mengutamakan aspek kebersihan premis, pengurusan sisa yang sistematik serta mematuhi segala peraturan dan garis panduan yang berkuat kuasa bagi bersama-sama memastikan persekitaran bandar yang selamat, sihat dan lestari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN