LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot pukat tunda bersama seorang tekong dan empat awak-awak warga Myanmar kerana disyaki melanggar syarat lesen dengan menjalankan aktiviti memukat ikan kurang daripada 15 batu nautika dari daratan berhampiran, kelmarin.
Penahanan itu dilakukan aset Maritim Malaysia di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Samak pada pukul 9.11 pagi ketika melaksanakan rondaan khas menerusi Op Sayong 1/2018, Op Pintas 1/2019 dan Op Tiris 4.0
Pengarahnya, Kapten Mohamad Shukri Khotob berkata, pemeriksaan mendapati bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
Katanya, bot itu dipercayai menjalankan aktiviti memukat ikan kurang daripada 15 batu nautika dari daratan terhampir.
“Lima kru warga Myanmar itu turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua mereka bersama bot, peralatan menangkap ikan dan hasil laut dianggarkan bernilai lebih RM3 juta telah ditahan dan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha bot tempatan yang melanggar syarat lesen dan menceroboh kawasan zon tangkapan ikan
yang dilarang.
Katanya, tindakan memukat di bawah jarak yang dibenarkan bukan sahaja menjejaskan
pendapatan nelayan tradisional, malah merosakkan ekosistem marin yang menjadi tempat pembiakan ikan.
“Sebarang aduan mahupun salah laku atau maklumat mengenai kecemasan di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya. – UTUSAN










