Mangsa letupan tong gas terpelanting hampir 100 meter

Mangsa letupan tong gas terpelanting hampir 100 meter

HANYAN Ramlan (kanan) melihat lokasi mayat seorang peniaga yang maut terkena serpihan sebuah tong gas yang meletup di tapak ekspo makanan berdekatan SP Plaza, Sungai Petani, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Suasana meriah di ekspo makanan berhampiran SP Plaza, di sini bertukar tragedi apabila seorang peniaga maut manakala tiga yang lain cedera selepas sebuah tong gas dipercayai jenis helium meletup, semalam.

Kejadian sekitar pukul 7.50 malam mengorbankan peniaga minuman, Azmi Ahmad, 42, yang cedera parah di bahagian perut selain putus tangan kanan dipercayai akibat terkena serpihan tong gas berkenaan. 

Mangsa yang cedera dalam kejadian itu, Khairul Shakirin Saad, 36, berkata, dia bersama mangsa dan beberapa peniaga lain sedang berbual berdekatan tandas awam di tapak ekspo itu kira-kira 10 minit sebelum kejadian.

“Selepas habis berbual, kami bergerak ke khemah jualan masing-masing sebelum berlaku satu letupan kuat dari arah tandas terbabit yang dipercayai berpunca satu tong gas diletakkan peniaga belon di situ.

“Serpihan kecil tong gas yang berterbangan itu terkena pinggang saya dan dua rakan lain, manakala mangsa terpelanting sejauh 100 meter ke dalam salah sebuah gerai setelah terkena serpihan yang lebih besar,” katanya ketika ditemui semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa berumur 16 tahun turut cedera ringan, manakala peniaga berusia 49 tahun cedera parah di bahagian perut dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Tambah Khairul Shakirin, beberapa buah kereta yang diparkir berdekatan turut rosak akibat terkena serpihan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya percaya terdapat peniaga lain atau pengunjung yang turut cedera ringan tetapi telah meninggalkan lokasi lebih awal.

Katanya, siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lelaki berumur 38 dan 18 tahun yang dipercayai merupakan peniaga belon dan pemilik tong gas berkenaan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

“Suspek berusia 38 tahun direman empat hari sementara seorang lagi suspek direman sehari. Siasatan terhadap kematian mangsa diklasifikasikan sementara sebagai mati mengejut (SDR).

“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat. Kita juga berharap saksi lain tampil membantu untuk melengkapkan siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN