Mangsa kedua dihempap blok konkrit stabil, alami kecederaan dalaman

Mangsa kedua dihempap blok konkrit stabil, alami kecederaan dalaman

MUHAMAD Yunus Nasir dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan. - IHSAN KELUARGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Seorang kanak-kanak yang selamat selepas dihempap blok konkrit ketika bermain dan menggali lubang bersama anak saudaranya di kawasan pasir di Kampung Telaga Papan, di sini semalam dilaporkan stabil meskipun mengalami kecederaan di bahagian dalaman badannya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, Muhamad Yunus Nasir, 12, cedera manakala anak saudaranya, Mohamad Yusof Nor Ismail, 12, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bapa kepada Muhamad Yunus, Nasir Ab. Rahman, 78, berkata, anaknya itu mengalami kecederaan dalaman termasuk luka di bahagian hati dan terdapat air pada buah pinggang yang perlu disedut keluar.

Katanya, Muhamad Yunus dibawa ke Hospital Tengku Anis di sini sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk rawatan.

“Dia berada dalam keadaan stabil, namun memerlukan rawatan lanjut kerana kecederaan di bahagian dalamannya agak serius.

“Kami sekeluarga bimbang dengan keadaan Muhamad Yunus selepas kejadian itu. Kita tidak tahu apa kecederaan bahagian dalaman yang dialaminya. Semasa dirawat di HRPZ II, keadaannya semakin baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Nasir berkata, dia dan keluarganya sangat menghargai bantuan anggota bomba dan penduduk kampung yang bertindak pantas membantu anaknya selepas kejadian berlaku.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kegembiraan seorang kanak-kanak bermain pasir bersama bapa saudaranya bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas dipercayai dihempap tiang konkrit dalam kejadian di Kampung Telaga Papan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN