Malim gunung, suami disoal siasat bantu operasi cari Jaslinda - Utusan Malaysia

Malim gunung, suami disoal siasat bantu operasi cari Jaslinda

MOHD. Fadzil Ismail (depan, kiri) pada sidang akhbar di Pusat Kawalan Bomba, Surau At-Taqwa Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh, Tapah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Enam orang malim gunung dan suami kepada pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak Ahad lalu, Jaslinda Saludin, 49, disoal siasat bagi membantu operasi pencarian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintenden Mohd. Fadzil Ismail berkata, soal-siasat itu menjurus kepada elemen untuk membantu operasi SAR bagi menyelamatkan mangsa.

“Kita telah soal siasat enam orang malim gunung pelbagai jantina termasuk suami Jaslinda, iaitu Haszman Othman, 61. Ini bagi membantu operasi SAR.

“Kita akan bertukar maklumat dengan bomba dan hasilnya setakat ini positif,” katanya kepada pemberita di Pusat Kawalan Bomba, Surau At-Taqwa Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh, Tapah hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon.

Mohd. Fadzil berharap operasi bersepadu dan terancang boleh menemukan Jaslinda yang telah hilang lebih 72 jam dan terputus sumber minuman dan makanan.

Gunung Batu Putih berketinggian 2,130 meter yang merupakan antara gunung yang tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan tahap kesukaran ialah lasak dan sangat mencabar.

Jaslinda dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.

Difahamkan, mangsa yang cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki yang mengalami masalah pernafasan dan seorang malim gunung di Kem Batu Core.

Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN