Lori barang kes trafik terbakar

Lori barang kes trafik terbakar

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Sebuah lori yang merupakan barang kes trafik terbakar dalam kejadian di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.45 pagi daripada anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kuala Pilah.

Menurutnya, lori berkenaan diletakkan di luar pagar IPD Kuala Pilah sebelum dipercayai terbakar.

“Susulan maklumat diterima, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Pilah telah dihubungi dan tiba di lokasi kira-kira pukul 3.05 pagi bagi menjalankan operasi pemadaman.

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya lebih kurang 20 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustafah berkata, hasil siasatan awal mendapati lori tersebut merupakan barang kes bagi satu kemalangan jalan raya yang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku di Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir melibatkan sebuah lori dan dua buah kereta sehingga mengakibatkan seorang mangsa meninggal dunia.

“Lori itu bersama dua buah lagi kenderaan telah ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom)

“Bagaimanapun, lori berkenaan terpaksa diletakkan di luar kawasan kompaun IPD Kuala Pilah disebabkan faktor saiz dan kesesuaian lokasi simpanan,” katanya.

Tambahnya, setakat ini punca kebakaran masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk pemeriksaan terperinci oleh pihak Forensik Bomba bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN