Lima rakyat Malaysia diberkas disyaki dalang seludup dadah

Lima rakyat Malaysia diberkas disyaki dalang seludup dadah

SEBAHAGIAN rakyat Malaysia yang ditahan bersama 440 kilogram syabu dalam satu operasi oleh Biro Pencegahan Narkotik Polis Thailand di Nakhon Pathom, Thailand. – IHSAN NSB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAKHON PATHOM (THAILAND): Biro Pencegahan Narkotik (NSB) Polis Thailand menahan lima rakyat Malaysia sekali gus membongkar sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dalam serbuan di sebuah hotel di sini, Khamis lalu.

Tangkapan dan rampasan syabu seberat 440 kilogram (kg) pada pukul 9 malam itu susulan penahanan seorang warga Malaysia di Hat Yai pada 5 Mei lalu.

Komander NSB, Leftenan Jeneral Achayon Kraithong ber­kata, susulan tangkapan pertama, pihaknya mengesan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia dipandu seorang individu melintasi Pusat Pemeriksaan Kastan dan Imigresen di Padang Besar menuju Wilayah Nakhon Pathom.

Katanya, bertindak atas maklumat, anggota tersebut me­lakukan pemantauan di sekitar tempat meletak kenderaan hotel dan mengesan ketibaan empat kenderaan dari Malaysia.

“Kira-kira pukul 9 malam, anggota NSB menyerbu hotel berkenaan dan menahan kelima-lima suspek ketika mereka sedang bersiap untuk beredar. Pemeriksaan dalam tempat simpanan barang dan kotak pembesar suara empat kenderaan terbabit kemudian menemukan beberapa bungkusan yang me­ngandungi 440 kg syabu,” kata­nya ketika dihubungi, semalam.

Achayon berkata, NSB menahan dua lagi anggota sindiket terbabit yang juga rakyat tempatan semasa serbuan.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan itu masing-masing berusia antara 30 tahun hingga 40 tahun.

“Kita menahan reman mereka selama tiga minggu untuk membantu siasatan rangkaian sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan Thailand sebagai pusat operasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN