KUANTAN: Sebanyak 112 pasukan dijangka bersaing dalam Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st, Piala Al-Sultan Abdullah yang bakal berlangsung bermula Jun ini bagi merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM300,000.
Kejohanan yangberlangsung secara berperingkat bermula 20 Jun hingga 29 Ogos depan melibatkan saingan peringkat kumpulan, pusingan 16 terbaik, suku akhir, separuh akhir dan final yang dijadual berlangsung di Stadium Darul Makmur, di sini.
Menariknya, setiap pasukan diwajibkan menurunkan sekurang-kurangnya seorang pemain bawah 19 tahun dalam kesebelasan utama sebagai usaha memberi pendedahan awal kepada pemain muda tempatan selain memastikan pembangunan bakat dilakukan secara berterusan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, liga berkenaan bukan sahaja bertujuan menghidupkan semula minat terhadap bola sepak, malah menjadi medium memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
“Rakyat Pahang memang sangat meminati bola sepak sebab itu kita terpanggil untuk mengadakan kejohanan ini. Pada masa sama, kita mahu mencungkil bakat anak-anak muda dalam arena bola sepak.
“Kita mahu anak muda memenuhi masa dengan aktiviti yang memberi manfaat kepada diri mereka dan negeri Pahang selain sukan ini mampu menjadi platform meningkatkan perpaduan rakyat,” katanya lselepas Majlis Pelancaran Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st Merebut Piala Al-Sultan Abdullah di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi.
Sebagai pembuka tirai rasmi liga berkenaan, satu perlawanan persahabatan membabitkan Pilihan Pahang menentang Pilihan Selangor berlangsung di Stadium Darul Makmur pada 6 Jun ini sebelum saingan sebenar bermula dua minggu kemudian. – UTUSAN










