Krisis Perlis: Undi tidak percaya tak perlu tunggu sidang DUN - Sanusi

Krisis Perlis: Undi tidak percaya tak perlu tunggu sidang DUN – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md Nor pada Majlis Penyerahan Lembu Korban di Seri Mentaloon, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah tidak hanya boleh dilakukan ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebaliknya, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihak yang mahu berbuat demikian boleh mengemukakan akuan bersumpah (SD) tanpa perlu menunggu sidang DUN berlangsung.

Tambahnya, Abu Bakar juga mempunyai pilihan untuk membubarkan DUN Perlis sekiranya berdepan kebuntuan atau tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

“Itu pilihan dia lah (bubar DUN) tetapi sebenarnya bukan perlu tunggu hari sidang DUN pun untuk buat undi tidak percaya, di luar pun boleh hantar SD. Kalau tak ada jalan keluar kena bubar,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Lembu Korban di sini, hari ini.

Kelmarin, Menteri Besar Perlis secara terbuka memaklumkan akan membubarkan DUN Perlis sekiranya enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas membuat usul undi tidak percaya pada Sidang DUN bulan depan.  

Abu Bakar berkata, beliau tidak mempunyai pilihan lain selain daripada melakukan tindakan itu sekiranya berlaku situasi berkenaan, walaupun diamanahkan mempertahankan kerajaan negeri ketika ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi mengingatkan semua pihak supaya menilai semula punca sebenar isu yang berlaku di Perlis dan bukannya hanya memberi tumpuan kepada reaksi yang timbul selepas itu.

Katanya, setiap tindak balas yang berlaku ketika ini mungkin disebabkan oleh tindakan awal yang dilakukan seseorang atau sesuatu pihak.

“Saya punya pandangan, jangan tengok apa orang balas. Tengok apa yang kita buat betul atau tidak. Orang balas itu tindak balas kepada tindakan kita. Jadi, tengok dulu apa yang kita buat sampai orang bertindak balas macam itu,” katanya.

Menurut beliau, pengajaran sebenar perlu diambil daripada tindakan awal yang mencetuskan sesuatu keadaan dan bukannya semata-mata daripada reaksi selepas itu.

“Apa-apa benda pun dalam dunia ini jangan tengok tindak balas saja, tetapi tengok punca awal apa yang kita buat. Kalau apa yang dibuat itu tidak betul, pada masa akan datang jangan buat lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN