Kewangan dan pengurusan KL City FC bertambah baik - Fahmi

Kewangan dan pengurusan KL City FC bertambah baik – Fahmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Situasi kewangan dan pengurusan Kuala Lumpur (KL) City FC dilaporkan bertambah baik, termasuk berkaitan isu tunggakan bayaran gaji pemain serta staf.

Penaung kelab, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beberapa isu yang sebelum ini membelenggu kelab tersebut telah berjaya ditangani hasil penambahbaikan dalam aspek pentadbiran dan pengurusan kewangan.

“Usaha berterusan telah dilaksanakan bagi memastikan KL City FC dapat beroperasi dengan lebih teratur, tersusun dan berkesan.

“Beberapa perkara telah diperbaiki dan kita lihat isu berkaitan bayaran gaji serta tunggakan kini berada dalam keadaan lebih terkawal,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Korban Perdana Lembah Pantai 2026 di Pustaka KL, Lembah Pantai, hari ini.

Tambah Fahmi, isu berkaitan dana kelab juga dijangka tidak lagi memberi kesan besar kepada operasi pada masa akan datang.

Katanya, usaha penstrukturan semula proses dalaman sedang dijalankan bagi memastikan pelaksanaan setiap perancangan berjalan tanpa gangguan.

“Beberapa proses dalaman juga sedang disusun semula bagi memastikan semua perancangan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan profesional.

“Semua pihak perlu memberi ruang kepada pengurusan kelab untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih profesional,” katanya

Dalam pada itu, Fahmi berkata, sebanyak 72 ekor lembu disumbangkan kepada penduduk sekitar Lembah Pantai sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini bagi mengeratkan hubungan masyarakat setempat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, sumbangan itu merangkumi pelbagai agihan kepada surau, masjid, persatuan penduduk serta rukun tetangga di kawasan berkenaan.

“Ya, sebanyak 72 ekor lembu diagihkan di seluruh Lembah Pantai.

“Sebanyak empat ekor lembu turut dihantar ke Setiawangsa termasuk dua daripadanya untuk Kementerian Pertahanan (Mindef) memandangkan kawasan itu ketika ini tidak mempunyai Ahli Parlimen.

“Diharapkan program seperti ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta semangat perpaduan dalam kalangan komuniti dan rakan-rakan dalam parti komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN