Kerjaya dalam bidang keselamatan mampu raih pendapatan tinggi

Kerjaya dalam bidang keselamatan mampu raih pendapatan tinggi

SHAFIQ MURALY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Masyarakat diminta supaya bersikap lebih terbuka serta mengikis persepsi negatif terhadap kerjaya dalam bidang keselamatan ketika ini.

Pengerusi Penang Security Practitioners Organisation (Pensec), Shafiq Muraly berkata, dalam hal ini, kerjaya tersebut tidak boleh lagi dijadikan sebagai pilihan terakhir terutamanya dalam kalangan graduan universiti.

“Kita (masyarakat) kena mula tukar ‘mindset’ (pemikiran). Sebaik sahaja keluar dari universiti sekarang ini, kita boleh minta jawatan sebagai pengurus keselamatan atau eksekutif keselamatan yang rata-ratanya kini bergaji tinggi iaitu hampir menyamai gaji seorang jurutera.

“Malah, ada dalam kalangan pengurus-pengurus (keselamatan) ini mampu memperoleh gaji yang mencecah antara RM13,000 sehingga RM15,000 (sebulan) bergantung kepada syarikat atau kilang tempat mereka bekerja,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis makan makan dan Mesyuarat Agung Tahunan Pensec yang disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Shafiq berkata, seperti cabang kerjaya lain, bidang keselamatan juga tidak terlepas daripada berdepan dengan cabaran kecanggihan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, sebagai contoh, kebanyakan kilang serta syarikat logistik kini mula menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dilengkapi teknologi AI yang lebih canggih.

“Memang ada (penggunaan teknologi AI) tetapi tidak sepenuhnya. Pengawal keselamatan masih penting kerana mereka ada banyak tugasan. Kena buat rakaman, kena uruskan sistem pelawat dan macam-macam lagi. Mereka juga orang yang terakhir meninggalkan sesuatu syarikat itu jika ia ditutup,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shafiq memberitahu, pengawal keselamatan dari Nepal masih menjadi pilihan kilang-kilang atau syarikat logistik disebabkan faktor disiplin serta kemampuan mereka untuk bekerja dalam tempoh yang lama.

“Mereka (pengawal keselamatan dari Nepal) boleh bekerja sehingga 31 hari, tidak pernah ponteng dan tidak pernah datang lambat berbanding pekerja tempatan yang biasanya tidak boleh bertahan untuk tempoh yang lama.

“Maka, atas dasar itu jugalah kami di Pensec cuba untuk menaikkan standard bidang keselamatan ini ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya yang memaklumkan, sehingga kini, kira-kira 2,500 peserta telah menerima manfaat daripada program latihan keselamatan oleh pertubuhan berkenaan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN