IPOH: Kerajaan menegaskan tiada pengampunan akan diberikan kepada ahli perniagaan negara Taek Jho Low yang kini dalam buruan antarabangsa dan dituduh Amerika Syarikat (AS) sebagai dalang salah satu skandal penipuan kewangan terbesar dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak akan mempertimbangkan perkara itu sekiranya Jho Low berbuat sedemikian.
“Kita tak pertimbangkan sama sekali kalau dia (Jho Low) memohon pengampunan. Ini soal soal yang dibangkitkan semalam.
“Saya jawab itu, tapi menimbulkan kekeliruan. Ini soal Jho Low. Yang saya katakan, tak berbangkit bukan bermakna tiada isu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Dewan Serbaguna, Jabatan Pendidikan Perak di Ipoh, hari ini.
Terdahulu, beliau berucap dan menyampaikan surat setuju terima pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Kementerian Pendidikan kepada Kontraktor Kecil Bumiputera.
Katanya lagi, Jho Low didakwa terlibat dalam jenayah yang menyebabkan negara mengalami kerugian berbilion ringgit.
“Saya kata kerana kita tak pertimbangkan sama sekali kalau dia memohon pengampunan, ya. Ini terlibat dalam kecurangan, jenayah, kerugian berbilion, takkan nak memohon pengampunan.
“Tapi bila saya sebut tidak diberi pertimbangan, jadi macam saya tengok setengah media dia lapor cara lain. Maksudnya tak. Bagi saya tak berbangkit maknanya tiada isu untuk kita berikan tumpuan dan pertimbangan (pengampunan),” katanya.
Media melaporkan semalam, Anwar dipetik sebagai berkata, Malaysia tidak akan menghalang sebarang usaha ahli kewangan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang dilaporkan memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Menurut beliau, perkara itu adalah urusan dalaman Amerika Syarikat dan kerajaan Malaysia tidak bercadang mengambil sebarang tindakan rasmi berhubung isu berkenaan.
Jho Low sebelum ini berdepan pertuduhan menyeleweng kira-kira AS$4.5 bilion (RM17.7 bilion) dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2018, namun sehingga kini masih bebas daripada ditahan pihak berkuasa. – UTUSAN










