Kerajaan Persekutuan komited semak hak 40 peratus Sabah

Kerajaan Persekutuan komited semak hak 40 peratus Sabah

ARMIZAN Mohd. Ali (dua dari kiri) ketika menghadiri Sesi Perbincangan Khas Berhubung Status Perkembangan Pelaksanaan Hak 40 Peratus Sabah bersama pimpinan utama GRS dan wakil ADUN daripada Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan komited memperbetulkan pendirian rasmi pentadbiran terdahulu termasuk melaksanakan semakan berkaitan hak 40 peratus pemberian khas Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, komitmen itu selaras dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengiktiraf hak Sabah terhadap pemberian khas berkenaan sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan sebelum ini bukan sahaja tidak membuat semakan, malah pernah menjawab secara rasmi di Parlimen bahawa hak 40 peratus Sabah itu telah terhenti berkuat kuasa.

“Namun, kerajaan hari ini mengiktiraf hak itu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan dan komited untuk melaksanakan semakan kadar baharu pemberian khas kepada Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta wakil Kabinet Persekutuan dari Sabah dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 berkata demikian selepas menyelaraskan Sesi Perbincangan Khas Berhubung Status Perkembangan Pelaksanaan Hak 40 Peratus Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

Sesi terbabit turut dihadiri pimpinan utama GRS dan wakil ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, walaupun kes berkaitan hak 40 peratus itu masih dalam proses perundangan di Mahkamah Rayuan, GRS tetap menegaskan supaya semakan terkini kadar pemberian khas di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan tahun ini.

Katanya, kerajaan negeri yakin Kerajaan Persekutuan akan bersetuju membuat semakan dengan peningkatan kadar baharu bermula tahun ini.

“Pendirian ini selari dengan kenyataan rasmi Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 13 November tahun lalu bahawa Kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak 40 peratus pemberian khas Sabah sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan.

“GRS dan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor akan terus menggunakan platform rundingan sedia ada bagi memastikan semakan kadar baharu pemberian khas dapat mencapai angka jauh lebih tinggi sebagaimana hak dan syor yang telah dikemukakan secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata, Sabah menuntut hak dan tambahan hasil itu bagi memperluaskan ruang fiskal negeri demi kesejahteraan rakyat serta merancakkan pembangunan negeri.

Menurutnya, peningkatan kadar pemberian khas daripada hanya RM26.7 juta bagi tempoh 1974 hingga 2021 kepada RM600 juta setahun ketika ini telah membolehkan pelbagai inisiatif baharu dilaksanakan kerajaan negeri.

Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk program Rumah Mesra SMJ yang menyaksikan sebanyak 6,634 rumah siap dibina dan diduduki golongan miskin sejak 2022 hingga 30 April lalu.

“Selain itu, Program Sentuhan Kasih Rakyat yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu turut menyalurkan bantuan tunai bulanan kepada kira-kira 140,000 ketua isi rumah miskin di seluruh Sabah.

“Dengan jangkaan peningkatan kadar pemberian khas tahun ini, kerajaan negeri turut menyasarkan pelaksanaan inisiatif tambahan termasuk menaik taraf sistem perpaipan air bagi menangani isu kehilangan air tidak berhasil (NRW) serta pembinaan jambatan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN