HULU SELANGOR: Bapa kepada remaja perempuan yang hilang dipercayai sesat selepas mendaki Bukit Changkat Asa di Hulu Selangor sejak Sabtu lalu berharap anaknya itu dapat ditemukan.
Azizul Abdul Aziz, 48, berharap Nur Izzati Humaira, 19, dapat dijumpai selepas kehilangannya memasuki hari ketiga.
“Saya harap dia dapat ditemukan. Maaflah sama ada hidup atau mati. Ingin ada ‘jasadnya’ supaya kami sekeluarga tidak terus buntu.
“Kasihan melihat isteri, semakin tidak bersemangat. Cuma sebagai seorang bapa, saya amat berharap dia selamat,” katanya ketika ditemui pemberita di Hulu Selangor hari ini.
Katanya, anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum kejadian itu berlaku.
“Cuma baru-baru ini dia baru dapat lesen memandu kereta, jadi dia gembira sehingga memeluk dan mencium saya dan isteri beberapa kali.
“Dia memandu kereta Proton Wira untuk pergi ke kedai serbaneka bersama adik beradiknya kerana gembira sudah boleh memandu kereta,” katanya.
Ujarnya, anak keduanya itu bekerja sambilan di restoran berdekatan MRSM Trolak sebelum menyambung pengajian di instisusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Jelasnya, Nur Izzati ialah seorang yang tenang, gembira dan aktif selain amat mementingkan keluarga. – UTUSAN










