Kaki lemah, penglihatan tidak begitu jelas - Salih Yaacob - Utusan Malaysia

Kaki lemah, penglihatan tidak begitu jelas – Salih Yaacob

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelawak, Salih Yaacob mengakui tahap kesihatannya semakin merosot apabila penglihatan serta kekuatan kakinya tidak lagi seperti dahulu susulan masalah darah tinggi dan faktor usia.

Menurut Salih atau Mohammad Salih Yaacob, 65, dia kini lebih banyak menghabiskan masa di rumah kerana perlu dipapah untuk bergerak ke sesuatu tempat.

“Tempoh hari saya kena darah tinggi selepas bulan puasa, tetapi nasib baik tidak terlalu serius. Namun, kedua-dua belah kaki saya sudah tidak kuat seperti dulu.

“Boleh berjalan, tetapi sukar untuk bangun dan perlu dipapah. Penglihatan saya juga semakin kabur dan tidak begitu terang kerana pandangan sudah kelabu. Disebabkan itu, pergerakan saya pun tidak begitu seimbang.

“Saya masih boleh nampak, cuma tidak begitu jelas. Umur pun sudah lebih 60 tahun, jadi sekarang saya banyak berehat di rumah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Salih meluahkan penghargaan terhadap beberapa individu yang masih mengambil berat mengenai keadaannya, termasuk pelawak Ajak Shiro yang hadir menziarahinya baru-baru ini.

“Ya, dia ada datang bersama pasukannya untuk melawat saya. Cuma saya seboleh-bolehnya tidak mahu perkara ini dihebohkan.

“Siapa yang masih ingat kepada saya, Alhamdulillah. Kalau tidak ingat pun tidak mengapa, saya tidak kisah.

“Selain Ajak, ada juga rakan-rakan lain yang datang melawat seperti Den Wahab. Saya kalau boleh tidak mahu menyusahkan sesiapa,” katanya.

Sementara itu, difahamkan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) turut bersedia membantu meringankan beban ditanggung Salih di masa depan, termasuk pernah menyalurkan bantuan kewangan sebanyak dua kali iaitu pada Disember 2025 dan Ramadan lalu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN