JPJ WPKL ‘heret’ 31 syarikat pengangkutan, gagal patuh peraturan lebih muatan

JPJ WPKL ‘heret’ 31 syarikat pengangkutan, gagal patuh peraturan lebih muatan

HAMIDI Adam menunjukkan antara lori yang membawa muatan batu-batuan dan bahan binaan yang di tempatka di Ibu Pejabat JPJ Wangsa Maju.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengambil tindakan mahkamah ke atas 31 syarikat pengangkutan dengan jumlah denda mencecah RM463,000 bagi pelbagai kesalahan sejak Isnin lalu.

Pengarahnya, Hamidi Adam berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha dan syarikat pengangkutan yang mementingkan laba perniagaan semata-mata sehingga mengundang risiko nyawa pengguna jalan raya yang lain.

“JPJ WPKL ingin memberi peringatan tegas kepada semua pengusaha dan syarikat pengangkutan bahawa keuntungan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan undang-undang dan keselamatan awam.

“Mana-mana syarikat yang didapati terus melakukan pelanggaran undang-undang secara berulang boleh berdepan tindakan lebih keras termasuk sitaan kenderaan, perintah lucut hak oleh mahkamah serta tindakan terhadap permit dan lesen operasi syarikat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ di sini, hari ini.

Di samping itu, JPJ WPKL melalui Bahagian Penguat kuasa melaksanakan Operasi Khas Lebih Muatan di sekitar ibu negara yang bermula sejak 15 Mei hingga 18 Mei.

Hamidi berkata, fokus utama operasi adalah laluan utama keluar masuk kenderaan perdagangan iaitu di kawasan pembinaan, tapak projek pembangunan serta kawasan perindustrian di sekitar Kuala Lumpur.

“Kita lakukan operasi dengan memberi fokus utama kepada lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi melibatkan kesalahan membawa muatan berlebihan dan pelanggaran syarat teknikal kenderaan perdagangan,” katanya.

Tambah Hamidi, sebanyak 65,016 kenderaan perdagangan telah diperiksa di sekitar ibu kota sejak Januari hingga pertengahan Mei.

“Daripada jumlah itu, 3,082 kenderaan telah diambil tindakan, manakala 5,329 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk membawa muatan berlebihan serta pelanggaran syarat Lesen Kenderaan Motor dan Keperluan Tahap Perkhidmatan.

“Dalam operasi ini juga, JPJ WPKL turut menahan 22 buah kenderaan yang didapati melakukan kesalahan serius, termasuk melibatkan lapan pemandu warga asing dan 14 pemandu tempatan,” katanya.

Beliau berkata, selain tindakan saman dan pendakwaan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), JPJ WPKL tidak akan teragak-agak memohon perintah lucut hak terhadap kenderaan yang mengulangi kesalahan berat.

“Kesalahan lebih muatan bukan sahaja merosakkan jalan raya, malah meningkatkan risiko kemalangan. Penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan demi keselamatan pengguna jalan raya dan menjaga integriti sistem pengangkutan negara,” katanya.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang jalan raya diseru untuk menyalurkan aduan beserta butiran lengkap melalui aplikasi MyJPJ (e-Aduan) atau menerusi e-mel rasmi di [email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN