PETALING JAYA: Kerjasama Thailand-China dalam pembangunan industri kenderaan tenaga baharu (NEV) dan teknologi mobiliti pintar membuka ruang lebih luas untuk memperkukuh integrasi ekonomi serta jaringan industri di rantau ASEAN.
Perkembangan itu antara perkara yang diketengahkan menerusi acara ‘When Chongqing Meets Bangkok’ dengan industri automotif dan pertukaran kebudayaan dijadikan platform mempererat hubungan Thailand-China.
Timbalan Jurucakap Kerajaan di Pejabat Perdana Menteri Thailand, Lalida Persvivatana berkata, Thailand bersedia bekerjasama dengan Chongqing bagi memajukan industri automotif pintar dan ekonomi digital, sekali gus mewujudkan peluang ekonomi baharu untuk kedua-dua pihak.
“Matlamat bersama adalah untuk mewujudkan peluang ekonomi baharu serta membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Kerjasama antara Thailand dengan Chongqing yang pada peringkat awal tertumpu kepada sektor pelancongan dan perdagangan kini berkembang kepada pelbagai bidang termasuk pembuatan automotif, teknologi, ekonomi digital dan pertukaran kebudayaan.
Antara perkembangan utama ialah pelaburan Changan Automobile dalam pembangunan pangkalan pembuatan kenderaan tenaga baharu di Rayong, Thailand, dengan pengeluaran di kemudahan berkenaan bermula pada 2025.
Kemudahan itu dibangunkan bagi memenuhi keperluan pasaran Thailand, selain menyokong pengeluaran dan eksport ke negara anggota ASEAN lain serta pasaran serantau yang lebih luas.
Pada acara berkenaan, Naib Presiden Changan Auto Sales (Thailand) Co. Ltd., Chris Wu turut membentangkan keupayaan teknologi pengeluar automotif China dalam memenuhi keperluan pasaran ASEAN, selain menerangkan pendekatan syarikat terhadap pembangunan produk berorientasikan pengguna.
Lebih 100 wakil kerajaan, sektor kebudayaan, perniagaan, industri dan media dari Thailand serta China, termasuk wakil media dari beberapa negara Asia Tenggara, menghadiri acara tersebut.
Program itu turut menjadi sebahagian daripada inisiatif rentas negara ‘The Great Way’ yang dilancarkan Chongqing Broadcasting Group The First Sight TV sempena ulang tahun kelima penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif China-ASEAN.
Inisiatif itu melibatkan lima pasukan liputan yang bergerak dari Chongqing ke Thailand, Singapura, Malaysia dan negara anggota ASEAN lain bagi mengetengahkan kerjasama industri, pengiktirafan bersama terhadap piawaian serta pertukaran antara masyarakat di negara sepanjang Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu.
Acara ‘When Chongqing Meets Bangkok’ itu menjadi destinasi pertama perjalanan inisiatif berkenaan, sekali gus mencerminkan perkembangan kerjasama Thailand-China yang kini melangkaui perdagangan dan pelancongan kepada industri, teknologi, media dan kebudayaan.-UTUSAN











