HULU SELANGOR : Jasad Nur Izzati Humaira Azizul yang ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai sesat ketika menuruni Bukit Changkat Asa ditemukan dalam keadaan sempurna dan auratnya terjaga.
Anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat Malaysia (STORM), Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa berkata, dia bersama rakan sepasukannya yang menemukan jasad Nur Izzati Humaira turut berasa sebak melihat jenazah remaja itu.
Mohd. Fakhrul, 44, berkata, suasana di lokasi pencarian ketika itu bertukar hiba sebaik mayat remaja berusia 19 tahun berkenaan ditemukan.
“Anggota pasukan penyelamat yang melaungkan azan dan melafazkan kalimah syahadah selepas penemuan mangsa.
“Minit terakhir operasi mencari dan menyelamat (SAR) seolah-olah memberi petunjuk supaya kami melakukan pencarian di kawasan itu sebelum membawa kepada penemuan jasad mangsa,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pasukan STORM yang disertainya mula digerakkan ke lokasi kejadian sejak Isnin lalu bagi membantu operasi pencarian remaja berasal dari Felda Trolak Utara, Sungkai, Perak itu.
Katanya, pada hari terakhir operasi, pasukan penyelamat bertindak memecahkan kumpulan pencarian dengan menyusuri kawasan denai serta semak berhampiran lokasi mangsa ditemukan.
“Kami memberi tumpuan di kawasan yang kurang kesan laluan manusia dan sekitar denai asal sebelum menemukan arwah pada pukul 11.58 pagi,” jelasnya
Mohd. Fakhrul berkata, dia sudah menjangkakan mangsa tidak lagi bernyawa sebaik melihat keadaan remaja terbabit ketika ditemukan.
Jelasnya, walaupun tidak mengenali mangsa secara peribadi, detik penemuan itu tetap memberi kesan emosi kepada pasukan penyelamat yang terlibat.
“Sebagai anggota penyelamat, kami memang bersemangat untuk meneruskan pencarian sehingga mangsa ditemukan.
“Pada hari ketiga operasi, kami sebenarnya mahu meneruskan SAR ke kawasan lain namun terpaksa dihentikan kerana keadaan sudah gelap,” ujarnya.
Tambahnya, semangat pasukan penyelamat semakin kuat pada hari keempat operasi kerana yakin mangsa akan ditemukan pada hari berkenaan.
“Alhamdulillah, dengan hasil kerjasama dan semangat berpasukan, usaha kami akhirnya membuahkan hasil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, operasi SAR berdepan cabaran disebabkan keadaan muka bumi berbukit selain terdapat kawasan berpaya yang perlu diredah anggota penyelamat.
Ujarnya, pencarian dijalankan di seluruh kawasan sekitar termasuk denai, semak dan laluan trek berhampiran lokasi kejadian.
Media sebelum ini melaporkan remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas dipercayai tersesat ketika menuruni Bukit Changkat Asa sejak Sabtu lalu ditemukan meninggal dunia pada Selasa lalu.
Mangsa, Nur Izzati Humairal, 19, ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sekitar pukul 11.58 pagi di kawasan kebun berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang. – UTUSAN










