KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ina Naim, 42 sentiasa mendidik anak-anaknya terutama Hadie Elfardie agar tidak berasa selesa dengan populariti dan sanjungan yang dimilikinya.
Ina atau nama sebenarnya, Nordiana Mohd Naim berkata hal demikian kerana dia enggan Hadie parah jika ditakdirkan satu hari nanti jatuh tersungkur.
“Saya maklumkan kepada dia, disiplin dan tanggungjawab harus ada, bermula daripada bawah.
“Jangan selesa berada di atas kerana parah bila jatuh.
“Saya didik anak, buat daripada bawah. Waima melakukan kerja seperti cuci lantai atau bilik air, bermula dari bawah. Dan dia faham perkara itu, Alhamdulillah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Ina, dia sentiasa berpesan supaya anaknya itu menjaga solat agar sentiasa dibawah perlindungan yang maha esa.
“Hadi tidak pernah berjauhan dengan saya. Berlainan masa dia sedang belajar, kita faham kawan-kawan dia macam mana.
“Tapi sekarang ini apabila tinggal sendiri, walaupun bersama pembantu peribadi, dia tidak menjaga Hadie sepenuhnya.
“Itu yang membuatkan saya risau. Tapi Insya-Allah, saya yakin dan percaya dengan Hadi.
“Saya selalu pesan kepada dia, jaga solat, Insya-Allah, Allah akan jaga. Selainnya di luar kawalan kita,” kongsinya.
Dalam pada itu, Ina memaklumkan dia cukup risau Hadie dibelenggu fitnah disebabkan rasa penat melayan peminatnya.
“Saya berkata begitu kerana saya pernah berada di tempatnya, mengalami situasi yang dialaminya.
“Akan timbul fitnah apabila kita tidak melayan peminat disebabkan kita penat atau keletihan.
“Apatah lagi dalam keadaan sekarang yang semua dihujung jari. Saya takut dia tak layan peminat sebab penat dan letih, nanti akan timbul masalah lain kepada dia.
“Sebab itu saya selalu pesan kepada dia supaya jaga diri dan akhlak. Ingat didikan ayahnya, Mohd Suhaimi Mohd Saad, Insya-Allah. Saya serah semua kepada Allah, mudah-mudahan Allah lindungi anak saya,” ujarnya.










