PETALING JAYA: Aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang ditahan di Penjara Ketziot diseksa tentera Israel sehingga puluhan daripada mereka patah tulang rusuk, selain direnjat dengan peranti elektrik atau taser.
Daripada seramai 428 peserta misi 40 negara termasuk 29 rakyat Malaysia, sekurang-kurangnya tiga individu telah dimasukkan ke hospital.
Kumpulan peguam hak asasi yang mewakili kesemua aktivis GSF 2.0, Pusat Undang-undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) mendedahkan, menerima sejumlah besar aduan mengenai keganasan melampau, lantas memperlihatkan corak baharu penderaan fizikal yang disengajakan ketika lawatan di Pelabuhan Ashdod, kelmarin.
ADALAH berkata, aktivis yang ditahan turut diseksa di atas kapal serta sepanjang proses pemindahan antara bot dan pelabuhan.
“Peguam turut merekodkan puluhan peserta yang disyaki mengalami patah tulang rusuk sehingga menyebabkan kesukaran bernafas.
“Laporan juga menunjukkan penggunaan taser secara kerap terhadap peserta, selain kecederaan akibat tembakan peluru getah semasa flotila dipintas dan ketika mereka dipindahkan ke bot tentera,” katanya.
Keganasan itu turut diuar-uarkan sendiri oleh Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir yang mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa, selepas memuat naik rakaman menunjukkan aktivis ditahan dipaksa berlutut dengan tangan diikat dan dahi menyentuh tanah.
Video yang dikongsi di platform X itu disiarkan selepas tentera Israel memintas kapal peserta GSF 2.0 di perairan antarabangsa dan menahan ratusan aktivis antarabangsa termasuk rakyat Malaysia.
Dengan kapsyen ‘Welcome to Israel’ (selamat datang ke Israel), video itu menunjukkan puluhan aktivis dipaksa berlutut dengan tangan diikat dan dahi menyentuh tanah dengan lagu kebangsaan Israel dimainkan.
Rakaman itu juga menunjukkan Ben Gvir mengejek dan merendah-rendahkan aktivis sambil mengibarkan bendera Israel di hadapan mereka.
Dalam pada itu, setakat pukul 7 petang semalam, kesemua aktivis GSF 2.0 termasuk 29 rakyat Malaysia dilaporkan telah dibebaskan oleh rejim Zionis.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby dalam sidang akhbar, semalam.
Sani Araby berkata, kesemua 428 peserta sedang dipindahkan menaiki bas menuju Lapangan Terbang Ramon, Israel dan dijangka sampai ke Istanbul menggunakan tiga penerbangan tajaan khas Kerajaan Turkiye dengan nombor penerbangan TK6919, TK6921 dan TK6925.
“Ketiga-tiga penerbangan khas Turkish Airlines tersebut dijangka berlepas dari tanah haram Israel sekitar pukul 8 malam waktu Malaysia dan penerbangan ini dijangka tiba pada pukul 10 malam waktu Malaysia.
“Mereka akan disambut oleh Kedutaan Malaysia di Turkiye, Wisma Putra serta Kerajaan Turkiye bersama dengan wakil daripada kumpulan di Istanbul,” katanya.
Katanya, SNCC menjangkakan delegasi akan terbang dan kembali ke tanah air pada 23 Mei bersamaan Sabtu ini dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 24 Mei hari Ahad.
Sani Araby berkata, Penjara Ketziot ialah penjara kontroversi dan terbesar di Israel yang ditubuhkan sejak 1988.
Katanya, awal pagi semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa segala usaha akan dilakukan bagi membebaskan segera rakyat Malaysia terlibat.
Katanya, beliau dihubungi Anwar sebelum berkongsi komitmen kerajaan terhadap rakyat Malaysia yang ditahan itu.
Menurutnya, Perdana Menteri memberi jaminan untuk memberi komitmen semaksimum mungkin dan sedang mengetuai segala usaha bersama beberapa negara termasuk Turkiye.
Sementara itu, ADALAH turut mengesahkan, semua aktivis flotila yang ditahan secara tidak sah telah dibebaskan daripada Penjara Ktziot serta sedang melalui proses pengusiran.
ADALAH memaklumkan, pihaknya menerima pemakluman tersebut daripada Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) dan pihak berkuasa negara berhubung pembebasan semua aktivis GSF dan Freedom Flotilla Coalition (FFC).
“Semua aktivis GSF dan FFC yang ditahan telah dibebaskan daripada Penjara Ktziot dan kini sedang dalam perjalanan untuk dihantar pulang,” katanya.
Selasa lalu, 428 peserta misi GSF 2.0 dari 40 negara termasuk 29 rakyat Malaysia dipintas Israel dan ditahan secara salah di perairan antarabangsa. – UTUSAN










