IPGM siasat dakwaan penuntut dibuli, dipaksa buat bunyi lucah

IPGM siasat dakwaan penuntut dibuli, dipaksa buat bunyi lucah

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) melakukan siasatan berhubung dakwaan seorang penuntut di Kuching, Sarawak dibuli dengan dipaksa membuat bunyi lucah seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

IPGM berkata, pihaknya memandang serius kejadian buli di sebuah kampus IPGM seperti yang dilaporkan media pada hari ini.

“Kejadian ini sedang berada dalam siasatan pihak IPGM. Tindakan tegas, iaitu hukuman tatatertib buang IPGM akan diambil ke atas mana-mana pelatih yang didapati bersalah.

“IPGM tidak berkompromi dengan salah laku buli. Pelatih guru perlu berdisiplin serta menunjukkan akhlak dan sahsiah yang baik sebagai bakal pendidik,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, kejadian itu didakwa membabitkan penuntut senior membuli penuntut junior lelaki sesi 2025/2030, dan dipercayai berlaku antara pukul 12.30 tengah malam hingga 4.30 pagi, Jumaat lalu.

Berdasarkan dakwaan, hampir 100 penuntut junior lelaki dipercayai menjadi mangsa apabila mereka didakwa dipaksa menjalani pelbagai bentuk layanan memalukan selama kira-kira empat jam.

Menurut dakwaan juga, penuntut junior dikatakan dipaksa mencangkung, melakukan aksi tidak senonoh serta mengeluarkan bunyi lucah.

Perbuatan itu didakwa berlaku di hadapan penuntut lain sehingga menimbulkan rasa malu dan tekanan kepada mangsa yang terlibat.

Selain itu, terdapat juga dakwaan beberapa pelajar dipanggil ke hadapan untuk meniru aksi tertentu, malah seorang penuntut junior turut dipersenda di hadapan rakan-rakan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN