KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) membuat pelaburan sebanyak RM5 juta bagi memperkasa perusahaan sosial melalui pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti, akses pasaran dan penarafan perusahaan sosial.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, pelaburan itu dilaksanakan selepas institut itu diberi mandat untuk menerajui pembangunan perusahaan sosial pada 2022.
Katanya, usaha tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk memperkukuh sektor perusahaan sosial sebagai antara pemacu ekonomi inklusif negara.
Menurut beliau, perusahaan sosial semakin penting dalam keadaan dunia yang berdepan ketidaktentuan geopolitik, krisis bekalan global dan perubahan sosial.
Katanya, model perusahaan sosial bukan sekadar mengejar keuntungan, sebaliknya turut menyasarkan penyelesaian kepada masalah masyarakat dan alam sekitar melalui pendekatan perniagaan yang kreatif dan mampan.
“Sebagai contoh, masyarakat yang semakin menua pada masa depan akan memerlukan lebih banyak perkhidmatan penjagaan komuniti dan sokongan sosial, yang juga boleh diterajui melalui model perusahaan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara inisiatif dilaksanakan Insken termasuk sesi libat urus bersama pemain industri, klinik penarafan perusahaan sosial, persidangan antarabangsa serta program pengukuhan jaringan dan akses pasaran di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Sehingga kini, seramai 3,875 peserta mendapat manfaat daripada pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan Insken.
Dalam tempoh dua suku tahun kebelakangan ini, Inesken turut memperuntukkan RM200,000 bagi membantu 20 entiti perusahaan sosial memperluas pasaran dan impak kepada komuniti.
Sementara itu, Steven Sim menggalakkan lebih banyak perusahaan sosial mendapatkan penarafan melalui institusi itu bagi meningkatkan kredibiliti serta akses kepada pembiayaan, pengecualian cukai, peluang penyertaan program dan pameran serta pelbagai bentuk sokongan kerajaan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Viviantie Sarjuni berkata, usaha tersebut mencerminkan peranan pihaknya sebagai penggerak ekosistem dalam merapatkan jurang antara perusahaan sosial dengan peluang pasaran sebenar.
Beliau berkata, Insken juga sedang beralih ke arah pendekatan mengarusperdanakan perolehan sosial agar ia menjadi amalan setara dengan perniagaan konvensional. – UTUSAN







