PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) mensasarkan 1,200 usahawan baharu dan juga sedia ada dari Sabah dan Sarawak untuk mengikuti Latihan Asas Keusahawanan hanya dengan bayaran RM50.
Program tersebut dilaksanakan melalui Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) bagi membantu memberi latihan kepada usahawan dari kedua-dua negeri untuk membantu meningkatkan kemahiran dalam perniagaan.
Inisiatif YBR itu telah diumumkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di Dewan Dato’ Syahbandar Makang Kuala Penyu, Sabah sempena Karnival Tekun Madani dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Sempena Pesta Kaamatan.
Beliau berkata, sokongan padu YBR dalam membantu usahawan meningkatkan sosioekonomi di kalangan masyarakat Sabah dan Sarawak dalam menangani jurang ekonomi serta fokus kepada bidang koperasi.
Pada masa sama, beliau menzahirkan rasa teruja dengan program tersebut yang disifatkan sebagai ‘membangunkan golongan usahawan’ terutamanya dari kalangan belia untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan serta usahawan sedia ada untuk menambah ilmu.
“Peserta bukan sahaja mendapat latihan kemahiran asas perniagaan, malah berpeluang mendapat pendedahan tentang strategi pemasaran tentang produk mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut hadir adalah Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd. Mukhti Abd Rahman.
Sementara itu, Philip berkata, program tersebut merupakan platform serta sebagai persediaan kepada peserta untuk menghadapi dunia perniagaan serta sebagai tapak dalam bidang berkenaan bagi mereka yang sudah memulakan perniagaan.
“Program Latihan Keusahawanan ini juga selari dengan inisiatif YBR dalam menyediakan latihan dan program pembangunan diri untuk meningkatkan kemahiran individu melalui keusahawanan dan perniagaan,” katanya.
Beliau turut berpendapat, bidang keusahawanan merupakan salah satu bidang alternatif dalam membuka peluang kepada anak muda untuk mendapatkan pendapatan yang lebih lumayan serta meningkatkan taraf hidup mereka ke peringkat seterusnya.
“Sabah dan Sarawak juga merupakan antara negeri yang melahirkan usahawan dalam menghasilkan produk tempatan tetapi kurang pendedahan di dalam strategi pemasaran.
“Justeru, program ini diharapkan mampu melahirkan usahawan dan bakal usahawan muda untuk menimba pengetahuan serta mempelajari teknik memasarkan produk serta meningkatkan sosioekonomi masyarakat seiring dengan inisiatif YBR dalam mewujudkan peluang kerjaya kepada komuniti tempatan,” katanya. – UTUSAN










