Gunung Batu Putih laluan sukar, mencabar - Utusan Malaysia

Gunung Batu Putih laluan sukar, mencabar

MUZAFAR Mohamad ditemui pemberita di Pusat Kawalan Bomba, Surau At-Taqwa Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh, Tapah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Pendaki yang sesat di Gunung Batu Putih di sini biasanya dijumpai semula dalam keadaan selamat selepas dua atau tiga hari hilang walaupun dengan keperluan yang terhad.

Malim Gunung Perhutanan Negeri Perak, Muzafar Mohamad, 50, yang berpengalaman lebih 10 kali mendaki gunung tersebut berkata, berdasarkan beberapa kes sebelum ini, mangsa yang tersasar laluan mampu bertahan lebih lama walaupun dengan bekalan terhad dan ada antara mereka ditemui dalam tempoh dua hingga tiga hari.

Menurutnya, kecuali satu kes pada tahun 1995, seorang pendaki dari Singapura tidak berjaya ditemui selepas tersesat di laluan gunung tersebut.

“Laluan (Gunung Batu Putih) ini kita anggap sukar kerana pendaki perlu menggunakan keempat-empat anggota iaitu tangan dan kaki untuk mendaki serta menuruni cerun dari satu puncak ke puncak lain.

“Selain jarak perjalanan yang jauh, faktor ketinggian, suhu serta angin di kawasan banjaran turut menjadi cabaran utama kepada pendaki,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Kawalan Bomba, Surau At-Taqwa Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh, Tapah.

Dia bersama lebih 30 malim gunung dari seluruh negara menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu.

Muzafar, yang berpengalaman sebagai malim gunung sejak 1995 berkata, cabaran lain di kawasan itu ialah suhu boleh mencecah antara enam hingga tujuh darjah Celsius, terutama pada waktu malam atau ketika hujan.

“Ketika bergerak, pendaki masih boleh mengekalkan suhu badan namun apabila berhenti dalam keadaan basah dan berangin, suhu badan boleh turun dengan cepat dan membahayakan. lokasi pencarian yang berada pada ketinggian kira-kira 2,000 meter serta ketiadaan liputan komunikasi.

“Keadaan ini menyukarkan penyampaian maklumat serta koordinasi antara pasukan di lapangan dan pusat kawalan, sekali gus memberi cabaran kepada taktikal pencarian,” katanya.

Dia tidak menolak kemungkinan Jaslinda tersilap memilih laluan ketika cuba turun selepas menyedari dirinya ketinggalan daripada kumpulan.

Berhubung Jaslinda boleh ditemui dalam keadaan selamat, Muzafar tidak menolak kemungkinan itu namun bergantung kepada ketahanan fizikal dan mentalnya.

Gunung Batu Putih merupakan salah satu gunung tertinggi di negara ini dengan ketinggian 2,130 meter yang tahap kesukarannya lasak dan sangat mencabar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN