SEPANG: Lapan lagi rakyat Malaysia dipercayai telah ditahan pihak berkuasa Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan warga Malaysia yang ditahan kini seramai 16 orang.
Terkini, mereka yang ditahan melibatkan kapal Abodes, Gotico, Themis dan Bianca ITA.
Tiga rakyat Malaysia yang menaiki kapal Themis adalah Osman Zolkifli, Hazwan Hazim Dermawan dan Mohd. Shamsir Mohd. Isa, manakala Norazman Ishak pula menaiki kapal Abodes.
Selain itu, penahanan sekitar pukul 7 malam itu turut melibatkan Mohd. Zaid Abdul Karim dan Mohammad Farizzal Rostam yang menaiki kapal Gotico.
Menurut paparan di Sumud Nusantara Tracker, mereka yang baru ditahan ialah Abdul Samad Selamat dan Naufa Azhari dari kapal Bianca ITA.
Terdahulu, seramai lapan rakyat Malaysia ditahan tentera Israel selepas kapal yang dinaiki mereka dipintas ketika dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Mereka yang ditahan termasuk aktivis, Zainal Rashid Ahmad atau dikenali sebagai ZRA yang menaiki kapal Amanda kira-kira pukul 5 petang tadi, manakala, Muhamad Muhsin Zaidi yang menaiki kapal Isobella pula dipintas kira-kira pukul 5.20 petang.
Seorang lagi rakyat Malaysia, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang menaiki kapal Josef dipercayai turut ditahan berdasarkan paparan langsung di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di sini.
Antara rakyat Malaysia lain termasuk S. Patmanathan, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar dan Dr Syakirin Mohamed Senin yang menaiki kapal Ferluto dipercayai ditahan tentera rejim Zionis sekitar pukul 4.50 petang tadi.
Manakala, Mohammad Syazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari yang menaiki kapal Cactus pula ditahan sekitar pukul 4 petang.
Sementara itu, menerusi sidang akhbar, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan bermula pukul 3 sehingga 6 petang tadi, kapal GSF telah dihampiri secara agresif oleh
tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
Menurut beliau, kedudukan flotilla ketika insiden intimidasi berlaku adalah kira-kira 241 batu nautika dari Pantai Gaza, iaitu di laluan perairan antarabangsa yang sah dan dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang maritim antarabangsa UNCLOS.
“SNCC mengesahkan sekurang-kurangnya lima kapal melibatkan lapan rakyat Malaysia telah terkesan dalam insiden tersebut.
“Pihak IOF melakukan pendekatan provokatif menggunakan beberapa buah bot laju jenis RIBs (Rigid Inflatable Boats) ke arah flotilla selain mengesan kehadiran dua dua kapal perang (warship) dan sebuah kapal tahanan (prison ship) berhampiran kawasan operasi flotilla,” katanya.
Dalam pada itu, Sani Araby memaklumkan bahawa 41 kapal flotilla termasuk yang membawa 21 rakyat Malaysia masih meneruskan pelayaran menuju Gaza dalam keadaan risiko keselamatan yang sangat tinggi susulan ancaman pemintasan, gangguan dan tindakan agresif berterusan oleh pihak IOF.
“SNCC memantau rapat perkembangan terkini operasi flotilla dan akan terus menyalurkan kemas kini rasmi dari semasa ke semasa berhubung status keselamatan serta pergerakan flotilla,” ujarnya.
Pada 14 Mei lalu, misi GSF 2026 memasuki fasa akhir apabila sebanyak 54 kapal mula berlepas dari Pelabuhan Marmaris, Turkiye menuju ke Gaza kira-kira pukul 7.30 malam waktu Malaysia.
Seramai 29 peserta Malaysia berumur antara 22 tahun hingga 58 tahun terdiri daripada tenaga profesional pelbagai bidang berlayar dari Marmaris dengan peranan masing-masing termasuk kapten, pembantu kapten, kru, pegawai perubatan dan juruteknik. – UTUSAN










