KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melakukan rombakan kecil dalam barisan kepimpinan tertinggi gabungan itu dengan melantik Datuk Seri Masidi Manjun sebagai salah seorang daripada lima timbalan pengerusi baharu.
Masidi yang juga merupakan Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengesahkan berhubung perkara terbabit.
“Ya, itu sahaja. Hanya rombakan kecil,” katanya ketika dihubungi.
Jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Pandikar sebelum ini mengumumkan parti itu keluar daripada GRS selain melepaskan semua jawatan yang disandang dalam gabungan berkenaan.
Empat lagi timbalan pengerusi GRS ialah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman; Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah dan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin.
Sebelum ini, Masidi memegang jawatan Setiausaha Agung GRS.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dilantik sebagai Setiausaha Agung GRS menggantikan kedudukan beliau sebelum ini sebagai Timbalan Setiausaha Agung.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan Sabah, Datuk Mohd. Razali Razi yang juga Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah mengambil alih jawatan yang dikosongkan Armizan.
Rombakan berkenaan turut menyaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Lo Su Fui dari PBS dilantik sebagai Bendahari GRS.
Ketua Penerangan GRS kekal disandang Pembantu Menteri kepada Ketua,m Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
GRS ditubuhkan pada tahun 2020 bagi membentuk kerajaan negeri Sabah.
Sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Parti Solidariti Tanah Airku dan Parti Maju Sabah (SAPP) turut mengumumkan keluar daripada gabungan politik terbabit.
Ketika ini, GRS dianggotai parti Gagasan Rakyat, PBS, LDP, PHRS dan PCS. – UTUSAN










