PETALING JAYA: Lonjakan kos sara hidup lebihi 280 peratus di Gaza memburukkan krisis makanan apabila ribuan kanak-kanak terperangkap malnutrisi kritikal susulan pengenalan Garisan Oren oleh tentera Israel, Mac lalu.
Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar), Jismi Johari berkata, Garisan Oren itu menyebabkan tentera Israel mengecilkan kawasan perlindungan, sekali gus menjejaskan laluan bekalan makanan dan bantuan kemanusiaan.
Katanya, tindakan tersebut menyebabkan penduduk Gaza terpaksa bersesak di kawasan sempit sehingga meningkatkan tekanan ekonomi dan kesukaran mendapatkan keperluan asas harian.
“Garisan ini dikesan menceroboh masuk ke dalam Garisan Kuning (zon selamat yang dipersetujui semasa gencatan senjata) bagi mengecilkan lagi ruang perlindungan pelarian.
“Garisan tersebut menjadikan krisis kemanusiaan di Gaza semakin melampau, apabila lebih 85 peratus penduduk Gaza kini berlindung di kawasan perlindungan sementara yang semakin mengecil, daif dan tidak lagi sesuai didiami manusia.
“Angka peratusan tersebut adalah bukti cerminan ‘kebuluran terancang’ apabila kos makanan asas melonjak sehingga di luar kemampuan, sekali gus memaksa ramai ibu bapa terpaksa mengurangkan pengambilan makanan demi memastikan anak kecil terus bertahan hidup,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Garisan Oren dan Garisan Kuning adalah garisan sempadan sekatan ketenteraan baharu yang mula dikuatkuasakan secara rasmi di lapangan antara bulan Mac dan April 2026, dan didedahkan kepada komuniti antarabangsa pada 1 Mei 2026.
Jismi berkata, kebanyakan hospital di wilayah berkenaan juga lumpuh selepas bekalan elektrik dan perubatan disekat, menyebabkan rawatan kecemasan gagal diberikan secara sempurna kepada pesakit.
Kini, kurang daripada 43 peratus hospital di Gaza masih mampu beroperasi secara separa, namun terus berdepan kekurangan ubat-ubatan serta peralatan perubatan kritikal akibat krisis kemanusiaan dan peningkatan kos sara hidup tersebut.
“Masyarakat antarabangsa perlu segera bertindak menghentikan perluasan Garisan Oren kerana tindakan itu mempercepatkan penderitaan kemanusiaan dan penghapusan rakyat Palestin secara sistematik.
“Dunia mungkin memalingkan perhatian kepada krisis lain, namun pengenalan Garisan Oren ketika peringatan Nakba pada 15 Mei semalam, dilihat sebagai bukti penindasan sistematik berterusan yang menafikan hak tanah rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN










