Gagasan Rakyat rombak struktur parti, 26 bahagian tunggu kelulusan ROS - Hajiji

Gagasan Rakyat rombak struktur parti, 26 bahagian tunggu kelulusan ROS – Hajiji

HAJIJI Noor bersama pemimpin dan perwakilan parti selepas selesai Perhimpunan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, hari ini. - IHSAN GAGASAN RAKYAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menstruktur semula pindaan perlembagaannya dengan mengurangkan jumlah bahagian daripada 74 kepada 26 sebelum dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk kelulusan rasmi.

Presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pindaan terbabit mendapat sokongan sebulat suara daripada perwakilan pada Perhimpunan Agung Khas parti berkenaan.

Menurutnya, penstrukturan semula itu dibuat bagi mengemaskan organisasi parti selaras dengan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Pindaan perlembagaan parti telah selesai dan diberi sokongan sebulat suara. Ini bermakna pindaan kita daripada 74 bahagian kepada 26 telah diluluskan dan akan dikemukakan kepada ROS untuk kelulusan.

“Kita akan membuat pengemasan dan struktur parti selepas ini menggunakan parlimen,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Hajiji berkata, semua usul yang dibentangkan turut mendapat sokongan penuh perwakilan. 

“Maknanya pindaan perlembagaan ini disokong secara sebulat suara. Selain itu, kita juga bersedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang termasuk mengemaskan jentera parti mengikut parlimen,” katanya.

Menurutnya, pendekatan baharu itu amat bersesuaian memandangkan negara dijangka berdepan PRU pada masa akan datang dengan segala strategi dan keputusan parti dibuat mengambil kira kepentingan rakyat serta perpaduan negeri Sabah.

“Dalam politik, kita mesti melihat seluas-luasnya. Kalau ia mendatangkan kebaikan kepada negeri dan perpaduan rakyat, apa salahnya. Matlamat perjuangan kita ialah untuk bersatu padu dan membangunkan negeri kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN