FAMA pergiat usaha promosi hasil pertanian Perlis

FAMA pergiat usaha promosi hasil pertanian Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyempurnakan simbolik perasmian program 'Perlis Showcase 2026' bertemakan ‘Dari Sempadan ke Kota Raya’ anjuran Mara Negeri Perlis di Bangunan Ibu Pejabat Mara, Selayang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis terus mempergiat usaha memperkenal dan mempromosi keistimewaan hasil pertanian negeri Perlis menerusi penganjuran Program Jualan Agro MADANI Edisi Perlis yang berlangsung di FAMA Point, Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru Selayang, di sini.

Program yang bermula seawal pukul 7.30 pagi hingga 1 tengah hari itu disempurnakan pelancarannya oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri dan Pengarah FAMA Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan bersama barisan pengurusan tertinggi FAMA.

Program ini mengetengahkan pelbagai produk dan hasil pertanian asli negeri Perlis dengan tarikan utama berupa penjualan Mangga Harumanis premium, set kombo khas Edisi Perlis serta pelbagai pilihan produk agromakanan.

Ia meliputi sayur-sayuran segar, buah-buahan tempatan, ayam segar dan barangan keperluan asas yang dijual terus kepada pengguna tanpa melalui rantaian orang tengah.

Selain itu, program ini turut melibatkan penyertaan usahawan bimbingan FAMA Perlis yang terdiri daripada pengusaha tempatan industri makanan, produk kerepek, pes masakan serta produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) asli Perlis.

Para peladang dan pengusaha ladang di bawah FAMA turut mengambil bahagian dengan membekalkan mangga Harumanis Perlis gred premium yang segar dan baru dipetik, manakala usahawan tani pula menawarkan hasil sayur-sayuran dan buah-buahan terus dari ladang kepada pengguna.

Sempena program itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan simbolik perasmian berasaskan produk Mangga Harumanis Perlis serta melancarkan Program Jualan Agro MADANI Edisi Perlis menerusi gimik plak perasmian.

Baginda berdua turut berkenan melawat beberapa rerurai jualan dan menyaksikan pelbagai promosi istimewa termasuk ‘Happy Hour Kombo MADANI’, ‘Happy Hour Mangga Harumanis Perlis’ serta simbolik ‘Kacau Pulut Kucai Harumanis Perlis’ sebagai simbol sokongan terhadap produk tradisional dan usahawan tempatan.

Penganjuran Program Jualan Agro MADANI Edisi Perlis ini bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan keunikan hasil pertanian negeri Perlis kepada masyarakat luar, malah turut memperkukuhkan jaringan pemasaran usahawan tani tempatan serta membantu rakyat mendapatkan produk segar berkualiti pada harga berpatutan.

Inisiatif seumpama ini juga selari dengan usaha memperkasakan sektor agromakanan negara dan memperluaskan akses pasaran kepada usahawan tempatan secara lebih mampan dan berdaya saing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN