Empat suspek samun, bunuh lelaki warga emas ditahan - Utusan Malaysia

Empat suspek samun, bunuh lelaki warga emas ditahan

CHUA KOK LIAN menunjukkan barangan kemas yang dirampas selepas menahan empat suspek yang terlibat dalam kes samun hingga mengorbankan seorang warga emas di Pekan Baru, Teluk Intan bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Polis berjaya menyelesaikan kes pembunuhan seorang lelaki warga emas dalam kejadian samun di sebuah rumah di Pekan Baru di sini bulan lalu, dengan tertangkapnya empat individu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, dua lelaki diberkas di Teluk Intan pada 23 April lalu, diikuti penahanan seorang lagi di Bentong, Pahang pada 25 April sebelum suspek keempat ditahan di Teluk Intan pada 27 April.

Katanya, tangkapan terhadap keempat-empat lelaki itu membawa kepada rampasan barang kes seperti kereta jenis Perodua Axia, motosikal Honda EX5, dua bilah parang, pakaian, sarung tangan dan pelitup muka.

“Hasil soal siasat, kita turut berjaya merampas barangan kemas milik mangsa bernilai RM8,000 yang telah dipajak suspek di sebuah kedai emas di sini.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati kesemua suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu mempunyai rekod penglibatan dalam pelbagai kes membabitkan jenayah kekerasan, jenayah harta benda dan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada empat suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, siasatan ke atas semua suspek yang ditahan reman itu telah selesai dan kertas siasatan kes berkenaan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Kita telah pun mendapat arahan untuk mendakwa keempat-empat suspek di Mahkamah Majistret Teluk Intan, esok mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambah beliau, usaha juga sedang dijalankan bagi mengesan seorang lagi lelaki dikenali Sri Shaileswara berusia 26 tahun untuk membantu siasatan.

Sementara itu beliau memberitahu, pihaknya berjaya menumpaskan kegiatan curi kabel di sekitar daerah ini dengan tertangkapnya tiga lelaki pada 18 April lalu.

“Pada mulanya, ketiga-tiga lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan kes samun dan bunuh melibatkan seorang lelaki warga emas. Namun, hasil siasatan lanjut mendapati mereka hanya terlibat dalam kes kecurian kabel.

“Tangkapan ke atas semua suspek itu berjaya menyelesaikan satu kes pecah rumah dan enam kes kecurian kabel di sekitar Teluk Intan yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM200,000,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 6.02 pagi, 17 April lalu, seorang lelaki berusia 69 tahun maut akibat kecederaan parah selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang.

Berdasarkan siasatan, tiga lelaki bertopeng telah menceroboh masuk rumah pasangan warga emas tersebut dan mengugut mereka untuk mendapatkan barangan kemas sebelum bertindak melibas parang ke arah mangsa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN