Ejen hartanah tikam ibu tunggal diarah jalani pemeriksaan psikiatri

Ejen hartanah tikam ibu tunggal diarah jalani pemeriksaan psikiatri

MUHAMMAD Ilhami Badaruddin (dua kanan) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan cubaan bunuh ke atas ibu tunggal di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana cubaan bunuh kenalan wanitanya apabila menikam leher mangsa, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Ilhami Badaruddin, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa cuba membunuh dengan cara menikam leher Nurul Husna Kasmani, 35, menggunakan pisau di Titi Gajah, Kepala Batas, di sini kira-kira pukul 9.19 malam, 17 Mei lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim serta Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern.

Hakim Priscilla Hemamalini turut memerintahkan lelaki itu dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak untuk penilaian psikiatri selepas permohonan dibuat peguamnya, Mohd. Hakim Hamran.

Mohd. Hakim memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya mempunyai masalah mental dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 2 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian pada 17 Mei lalu, seorang wanita cedera parah pada leher akibat ditikam kenalan lelaki di dalam kereta jenis Mazda di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah.

Suspek yang melarikan diri sebaik kejadian berjaya ditahan ketika bersembunyi di kawasan masjid di Taman Uda, di sini kira-kira pukul 1.50 pagi, 18 Mei lalu.

Mangsa dan suspek saling mengenali sejak lebih setahun lalu kerana mereka bekerja sebagai ejen hartanah dan motif kejadian dipercayai akibat perasaan cemburu atau cinta tidak berbalas.

Sebilah pisau rambo yang disyaki digunakan dalam kejadian itu berjaya ditemukan polis di kawasan sawah kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian selepas dipandu arah oleh suspek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN