Dua lelaki ditahan kes letupan tong gas di tapak ekspo

Dua lelaki ditahan kes letupan tong gas di tapak ekspo

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dua lelaki ditahan susulan kejadian letupan tong gas yang dipercayai digunakan untuk mengisi belon di tapak ekspo berhampiran Dataran Jam Besar, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati terdapat perlakuan atau kecuaian yang mengakibatkan letupan sehingga meragut satu nyawa dan mencederakan beberapa mangsa.

“Kita telah menahan dua lelaki berusia lingkungan 20-an dan 40-an yang dipercayai dapat membantu siasatan kes ini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, semalam.

Beliau berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian letupan itu pada pukul 7.53 malam.

“Seorang mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia dengan kesan kecederaan pada tangan serta dada kanan,” ujarnya.

Menurutnya, hasil siasatan awal percaya kejadian berlaku apabila sebuah tong mengandungi gas meletup sebelum serpihannya berhamburan sejauh antara 50 hingga 100 meter.

“Sebahagian serpihan terkena seorang peniaga di sini sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Jarak antara lokasi letupan dengan mangsa adalah kira-kira 70 meter,” ujarnya.

Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada tong yang meletup itu mengandungi gas helium atau hidrogen.

Beliau pada masa sama meminta mangsa termasuk pengunjung yang cedera tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

“Kita percaya ada pengunjung yang mengalami kecederaan ringan dan meninggalkan lokasi sebaik kejadian, jadi kita minta mereka tampil ke balai polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan seorang lelaki, Azmi Ahmad, 42, meninggal dunia manakala tiga lagi lelaki berusia 15, 36 dan 49 tahun cedera dalam kejadian letupan tong gas tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN