SUNGAI PETANI: Reman peniaga belon disyaki terlibat dalam insiden letupan tong gas dipercayai jenis helium di tapak ekspo makanan berdekatan SP Plaza, di sini Khamis lalu disambung sehari lagi bagi membantu siasatan.
Suspek lelaki berumur 38 tahun, sebelum ini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian.
Perintah sambung reman itu dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Saiful Akmal Mohd Razi, hari ini.
Sementara itu, pembantu kepada peniaga belon terbabit yang sebelum ini turut ditahan dibebaskan dengan jaminan polis.
Utusan Malaysia Khamis lalu melaporkan, satu kejadian letupan tong gas berlaku pada pukul 7.50 malam menyebabkan seorang peniaga minuman maut, manakala tiga individu lain cedera.
Mangsa yang maut ialah Azmi Ahmad, 42, merupakan peniaga air balang di ekspo makanan itu manakala mangsa lelaki yang cedera berumur 15, 36 dan 49 tahun. – UTUSAN







