BUDI95: Peruncit minyak diarah siasat dakwaan salah guna MyKad - Utusan Malaysia

BUDI95: Peruncit minyak diarah siasat dakwaan salah guna MyKad

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat peruncit minyak perlu menjalankan siasatan lanjut terhadap transaksi yang dikenal pasti melanggar prosedur operasi standard (SOP) program Budi Madani RON95 (BUDI95).

Ia susulan beberapa aduan mutakhir membabitkan dakwaan penggunaan maklumat MyKad tanpa kebenaran.

Kementerian Kewangan memaklumkan, syarikat peruncit minyak turut diarahkan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap stesen yang terlibat serta memperkukuh pemantauan dalaman bagi memastikan pematuhan berterusan di semua stesen minyak.

Menurutnya, syarikat peruncit minyak juga diarahkan memperketat pematuhan terhadap SOP pengesahan MyKad bagi setiap transaksi BUDI95.

“Sebarang urus niaga yang dilakukan secara manual tanpa pengesahan fizikal MyKad terlebih dahulu adalah tidak dibenarkan kerana ia membuka ruang kepada transaksi tanpa kebenaran, penyalahgunaan subsidi dan pelanggaran integriti pelaksanaan program,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian itu juga memandang serius aduan melibatkan dakwaan penggunaan maklumat MyKad tanpa kebenaran bagi transaksi di bawah BUDI95.

Malah turut memberi amaran keras supaya tiada pihak menggunakan nombor atau maklumat MyKad individu lain tanpa kebenaran untuk mendapatkan manfaat subsidi berkenaan.

Katanya, penggunaan atau pemilikan MyKad orang lain tanpa kuasa yang sah merupakan satu kesalahan serius di bawah Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Kementerian Kewangan juga memaklumkan, langkah pembetulan turut dikeluarkan, termasuk latihan semula kepada kakitangan barisan hadapan, pemaparan SOP di kaunter pembayaran serta penyaluran pampasan bersesuaian kepada pelanggan yang terkesan, tertakluk kepada hasil siasatan.

Menurutnya, syarikat peruncit minyak juga diarahkan menghubungi pemegang MyKad yang terkesan bagi membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.

“Kementerian akan terus memantau corak transaksi BUDI95 di semua stesen minyak dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan SOP atau penyalahgunaan subsidi bersasar,” tambahnya.

Penerima BUDI95 justeru digalakkan menyemak rekod transaksi di portal Budi Madani dan segera membuat laporan polis sekiranya terdapat transaksi tanpa kebenaran.

Penerima yang terkesan akibat transaksi tanpa kebenaran boleh membuat aduan dalam tempoh 30 hari selepas kejadian kepada Pusat Khidmat Budi Madani (BMCC) dengan melampirkan laporan polis, salinan kad pengenalan dan senarai transaksi yang dikemukakan dalam laporan polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN