SEREMBAN: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan jalan terbaik bagi meredakan krisis politik yang berlaku di negeri ini, jika Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun ingin mengembalikan semula mandat rakyat.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keadaan itu wajar dipertimbangkan sekiranya 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu sudah hilang kepercayaan terhadapnya.
Menurutnya, Aminuddin perlu mengembalikan semula mandat kepada rakyat dalam membuat keputusan untuk memilih pentadbir negeri yang baharu.
“Kalau Aminuddin sudah tidak dapat lagi kepercayaan majoriti daripada Ahli Dewan, sebaiknya beliau membubarkan DUN dan kita pulangkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan siapa yang mereka nak untuk mentadbir semula Negeri Sembilan.
“Jangan kita bising ‘kulu-kilir’, ia menyebabkan rakyat rasa tak tenteram. Sudahlah dengan keadaan dunia tidak stabil dengan perang, jadi kita buat elok-elok,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sendayan 2026 di Sendayan, sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rembau berkata, penyertaan parti berkenaan dalam Kerajaan Perpaduan adalah bagi tujuan mengurus pentadbiran negara secara bersama, bukan untuk mencetuskan ketidaktenteraman awam.
Katanya, setiap isu berkaitan sokongan dan keabsahan kerajaan perlu diselesaikan mengikut saluran demokrasi serta peruntukan undang-undang yang betul.
“Tidak timbul soal tidak boleh bersidang. Dewan boleh bersidang dengan syarat mendapat perkenan Tuanku. Dewan mesti diprorog dan dinotiskan terlebih dahulu sebelum bersidang,” katanya.
Beliau dalam pada itu, menegaskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan platform paling sesuai untuk menentukan sokongan serta keabsahan kerajaan, bukannya melalui perbahasan di luar dewan atau di tempat awam.
“Kita adalah wakil rakyat dan tempat paling sesuai menentukan sokongan adalah di dalam dewan, bukan di luar, bukan di gelanggang badminton atau di mana-mana,” katanya.
Rabu lalu, media melaporkan Aminuddin tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal diadakan tahun ini, namun keputusan muktamad masih bergantung kepada pucuk pimpinan parti.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu dilaporkan berkata pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk pembubaran DUN selepas persidangan diadakan seperti mana berlaku di peringkat Parlimen sebelum ini dan kerajaan negeri masih mempunyai tempoh kira-kira enam bulan sebelum DUN terbubar dengan tersendirinya Oktober depan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Seremban, kelmarin. – UTUSAN










