Bomba guna pesawat selamatkan pendaki sesak nafas - Utusan Malaysia

Bomba guna pesawat selamatkan pendaki sesak nafas

ANGGOTA bomba membawa keluar pendaki yang sesak nafas ketika ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih di Tapah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Pendaki lelaki yang mengalami sesak nafas ketika ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih di sini semalam berjaya diselamatkan sebentar tadi.

Lelaki berusia 41 tahun yang mengalami sesak nafas dan muntah darah itu dibawa keluar dari kawasan gunung menggunakan pesawat bomba pada pukul 3 petang.

Setakat ini, seorang lagi pendaki wanita berusia 49 tahun yang mengalami kecederaan di kaki dan turut menyertai aktiviti pendakian masih gagal dikesan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, seramai lapan anggota bomba telah diturunkan menggunakan pesawat AW139 di puncak Gunung Batu Putih pada pukul 11.43 pagi.

Katanya, pasukan penyelamat kemudian bergerak turun menuju ke lokasi mangsa sebelum berjaya menemui lelaki terbabit bersama malim gunung yang menemaninya.

“Mangsa kemudian dibawa ke lokasi yang dikenal pasti sesuai bagi melaksanakan operasi winching ke dalam pesawat.

“Kerja-kerja pembersihan kawasan pendaratan turut dilakukan sebelum pesawat tiba di lokasi mangsa pada pukul 2.30 petang untuk melaksanakan operasi mengangkat mangsa menggunakan kaedah winching,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa berjaya dibawa keluar menggunakan pesawat sebelum diserahkan kepada pasukan Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS) di Kem PGA Bidor pada pukul 3 petang.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tapah bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut. Operasi mengesan seorang lagi pendaki wanita masih diteruskan,” katanya.

Terdahulu, JBPM Perak menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.32 pagi semalam, mengenai seorang pendaki wanita berusia 49 tahun yang mengalami kecederaan kaki di kawasan Gunung Batu Putih.

Difahamkan, mangsa dikenali sebagai Jaslinda Saludin, 49, berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki, Mohd. Hanafi dan seorang malim gunung di Kem Batu Core selepas lelaki terbabit mengalami masalah pernafasan.

Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan dan wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN