KUALA TERENGGANU: Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu yakin kemelut antara parti itu dan Pas dapat diselesaikan secara bijaksana antara pemimpin kedua-dua parti sekali gus terus mengukuhkan perjuangan Perikatan Nasional (PN).
Ketuanya, Datuk Razali Idris berkata, sebarang kemelut antara Pas dan Bersatu hanya menguntungkan pihak lawan yang sentiasa menunggu ruang untuk memecahbelahkan kekuatan PN.
Beliau berkata, semua ketidakpuasan hati perlu diselesaikan dengan hikmah dan jiwa besar dengan Kembali ke meja rundingan adalah langkah terbaik demi mencari penyelesaian yang bersifat ‘menang-menang’, berasaskan semangat ukhuwah, saling menghormati serta matlamat perjuangan yang sama.
“Setiap hubungan pasti ada kekuatan dan kelemahan. Kajian semula diperlukan dan yang baik diperkukuh, yang kurang diperbaiki. Jangan kerana perbezaan pandangan, musuh diberi peluang melihat keretakan dalam saf perjuangan.
“Saya yakin kebijaksanaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu menemukan titik damai demi memastikan PN terus kukuh, matang dan diyakini rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal percaya PN kekal menjadi blok pembangkang yang kuat, bersatu dan bersedia menghadapi cabaran masa depan di bawah penyelarasan kepemimpinan Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Samsuri Mokhtar yang tenang serta strategik.
Menurut beliau, matlamat perjuangan PM mesti jelas iaitu ‘menuju Putrajaya’ dengan bukan sekadar menjadi pembangkang tetapi membina kekuatan sebagai satu pasukan besar yang bersedia memerintah Malaysia dengan lebih stabil, bersih dan berintegriti.
“Insya-Allah, dengan kesatuan saf, disiplin kepemimpinan dan fokus kepada agenda rakyat, PN akan tampil lebih kuat menghadapi pilihan raya umum akan datang. Musuh mahu melihat perpecahan tetapi kekuatan sebenar PN adalah kesatuan, kematangan dan keikhlasan perjuangan demi agama, bangsa serta negara,” katanya. – UTUSAN










