Batal lesen eksport NSM, beri kesan mendalam hubungan Malaysia, Norway - Utusan Malaysia

Batal lesen eksport NSM, beri kesan mendalam hubungan Malaysia, Norway

MOHAMED Khaled Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menyampaikan pendirian tegas kepada Norway susulan pembatalan lesen eksport Naval Strike Missile (NSM) yang menjejaskan perolehan pertahanan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu disampaikan secara terus kepada Menteri Pertahanan Norway, Tore O. Sandvik pada hari terakhir Shangri-La Dialogue 2026 yang berlangsung di Singapura, hari ini.

Beliau berkata, tindakan Norway itu menimbulkan kekecewaan dan kekesalan kerana ia memberi kesan kepada hubungan baik yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.

“Walaupun Menteri Pertahanan Norway telah menyampaikan permohonan maaf dan menjelaskan alasan di sebalik keputusan tersebut, Malaysia menegaskan bahawa cara isu ini dikendalikan tidak mencerminkan semangat persahabatan antara dua negara yang mempunyai hubungan rapat dan lama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, kontrak berkenaan telah ditandatangani sejak 2018 dan penghantaran dijadualkan pada 2026.

Bagaimanapun, belia berkata, Malaysia hanya dimaklumkan mengenai pembatalan itu pada saat akhir.

“Saya turut menegaskan bahawa sehingga kini tidak terdapat sebarang usaha yang memadai untuk membantu Malaysia mendapatkan semula bayaran yang telah dibuat.

“Sekiranya Norway benar-benar menghargai hubungan persahabatan yang wujud, sewajarnya ada inisiatif untuk menyelesaikan isu pembayaran balik tersebut, memandangkan tindakan pembatalan lesen eksport itu berpunca daripada keputusan kerajaan Norway sendiri,” katanya.

Beliau berkata, Menteri Pertahanan Norway memaklumkan perkara itu akan dibawa kepada perhatian kerajaan negara berkenaan untuk pertimbangan lanjut.

Katanya, Malaysia akan meneliti perkembangan seterusnya, namun episod tersebut meninggalkan kesan mendalam terhadap hubungan kedua-dua negara.

“Episod ini menjadi pengajaran penting dalam menilai kebolehpercayaan rakan strategik pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN