APAD diarah ambil tindakan maksimum terhadap Prasarana

APAD diarah ambil tindakan maksimum terhadap Prasarana

ANTHONY Loke Siew Fook
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengenakan hukuman maksimum terhadap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) susulan insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pagi tadi.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan serius termasuk pemecatan perlu diambil oleh pihak Lembaga Pengarah Prasarana terhadap mana-mana pihak yang cuai dalam tanggungjawab. 

Katanya, ia bertujuan mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kebolehpercayaan perkhidmatan sistem rel di bawah kendalian Prasarana.

“Pihak APAD telah membuka kertas siasatan terhadap insiden ini serta merta. Saya ingin menegaskan bahawa Lembaga Pengarah dan Pasukan Pengurusan Prasarana tidak boleh meneruskan sikap business-as-usual

“Kejadian sebegini perlu dipandang serius dan tiada sesiapa dalam pengurusan tertinggi Prasarana akan terkecuali daripada akauntabiliti dalam insiden ini. 

“Piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan awam bukanlah sesuatu yang boleh dikompromikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anthony Loke berkata, pihak kementerian segera menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menyiasat punca kejadian tersebut secara menyeluruh. 

Katanya, insiden tersebut membawa risiko keselamatan yang tinggi kepada penumpang dan petugas meskipun kesemua mereka berjaya dipindahkan dan tiada kecederaan dilaporkan.

“Saya telah mengarahkan supaya dapatan siasatan ini dikemukakan kepada Jemaah Menteri secepat mungkin dan laporan tersebut dihebahkan secara umum.

“Walaupun kesemua 25 penumpang dalam insiden ini berjaya dipindahkan dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan, pihak Kementerian Pengangkutan tetap mengambil pendirian yang tegas dalam insiden ini dan tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan orang ramai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN