KANGAR: Anak bekas Menteri Besar Perlis, Mohd. Syafeeq Mohd. Shukri, 37, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM19,505.10 berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Hakim, Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie pada akhir pendakwaan kes itu.
Ada dua isu utama dinilai mahkamah sepanjang perbicaraan membabitkan keterangan dan pengesahan saksi terhadap bahan bukti kes dan penentuan sama ada orang kena tuduh (OKT) merupakan seorang ejen.
Setelah meneliti keterangan semua pihak, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil semula untuk membela diri dengan wang jaminan dikembalikan.
Difahamkan pihak pendakwaan juga akan mengemukakan notis rayuan dalam tempoh 14 hari bagi semakan keputusan kes berkenaan.
Peguam tertuduh, Mohd. Fadhly Yaacob, berkata pihaknya bersyukur dengan keputusan itu sekaligus dapat membersihkan nama anak guamnya dan bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Seramai 11 saksi pendakwaan juga dipanggil bagi memberi keterangan sepanjang tempoh kes tersebut.
“Semua saksi memberi keterangan cukup meyakinkan tentang fakta dan isu serta mahkamah turut mempertimbangkan semua isu, fakta dan undang-undang,” katanya.
Utusan Malaysia pada Mei 2024 melaporkan Mohd. Syafeeq didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM19,505.10 berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis di HTF. – UTUSAN







