Yayasan OSK salur bantuan kepada 180 penerima sempena Aidilfitri - Utusan Malaysia

Yayasan OSK salur bantuan kepada 180 penerima sempena Aidilfitri

YAYASAN OSK bersama Pertubuhan Kebajikan Dan Penjagaan Kanak-Kanak Kurang Upaya Negeri Johor, salah satu penerima sumbangan tilam baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan OSK menyalurkan sumbangan berjumlah RM21,150 kepada lebih 180 individu melalui tujuh organisasi di Kuantan, Melaka, Seremban, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kedah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi program ‘Gifts of Hope’ yang telah menyalurkan keseluruhan RM440,000 kepada pelbagai rumah kebajikan serta kumpulan asnaf di seluruh negara sepanjang tempoh 10 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan OSK, Cheryl Ong berkata, kelangsungan program itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong komuniti memerlukan.

Menurutnya, sambutan Hari Raya tahun ini turut membawa makna istimewa bersempena ulang tahun ke-10 pelaksanaan program berkenaan.

“Sepanjang sedekad ini, inisiatif berkenaan telah memberi manfaat kepada hampir 30,000 individu daripada golongan rentan di seluruh negara.

“Ketika ‘Gifts of Hope’ dilancarkan, kami menyedari musim perayaan boleh menjadi tempoh mencabar bagi pengurusan rumah kebajikan walaupun ia sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan.

“Sehubungan itu, kami komited memastikan kebajikan penghuni rumah-rumah ini terus terbela,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, inisiatif tersebut turut menekankan keseimbangan antara penyediaan keperluan asas dan pengalaman menyambut perayaan, termasuk pemberian pakaian raya serta juadah Aidilfitri.

“Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dirangka secara strategik bagi memastikan penghuni dapat menyambut Aidilfitri dalam keadaan selesa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau beekata, yayasan itu juga memberi tumpuan kepada keperluan praktikal jangka panjang dalam usaha meningkatkan kualiti hidup penghuni.

“Antara usaha dilaksanakan termasuk menggantikan tilam serta kelengkapan tidur yang uzur bagi meningkatkan keselesaan harian, khususnya dalam kalangan penghuni Orang Kurang Upaya (OKU) dan mereka yang mempunyai masalah pergerakan.

“Selain itu, pembudayaan amalan kesukarelawanan dalam kalangan warga kerja kumpulan OSK turut menjadi pemacu kepada perkembangan inisiatif ini,” ujarnya.

Tambahnya, ulang tahun ke-10 program berkenaan membuktikan peranan syarikat korporat kini melangkaui pendekatan tradisional CSR.

“Ia bukan sekadar penyaluran bantuan kebajikan, sebaliknya membina hubungan bermakna serta memperluas skop bantuan kepada golongan miskin bandar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kolaborasi sukarelawan OSK bersama organisasi Feeding the Needy berjaya mengagihkan hidangan berbuka puasa, pek perayaan dan barangan keperluan harian kepada 310 individu di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN