TANAH MERAH: Polis giat memburu lima lelaki warga tempatan dan Thailand bagi membantu siasatan kes tembak seorang penternak lembu dalam kejadian di ladang kelapa sawit Kemahang di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, mangsa Mohd. Khairul Amri Ab. Kadir, 43, cedera pada bahagian dagu dan sedang menerima rawatan di Hospital Tanah Merah di sini.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, berdasarkan laporan pengadu yang merupakan seorang jurujual berusia 35 tahun, mangsa bersama rakan-rakannya menjalankan rondaan di kawasan ladang berkenaan kira-kira pukul 1.30 pagi bagi mengesan suspek kes mencuri lembu.
“Pada pukul 2.30 pagi, mereka telah terserempak dengan sekumpulan lelaki dianggarkan seramai lima orang yang dipercayai terdiri daripada warga tempatan dan warga Thailand.
“Suspek dipercayai melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat menggunakan senjata api ke arah pengadu dan rakan-rakannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Haki memberitahu, kejadian itu menyebabkan pengadu bersama rakan-rakan melarikan diri untuk menyelamatkan diri.
Katanya, tembakan itu telah terkena pada bahagian dagu Mohd. Khairul Amri.
“Selain itu, sebuah motosikal jenis Honda EX5 milik mangsa dilaporkan telah dilarikan oleh salah seorang suspek,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, niat murni seorang pemuda membantu penduduk kampung membanteras kegiatan curi lembu bertukar tragedi apabila dia parah selepas terkena tembakan rambang di Ladang Kemahang 1, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Khairi yang kali pertama menyertai rondaan bersama sekumpulan penduduk kampung dilaporkan terkena tembakan di bahagian rahang.-UTUSAN










