UMNO Terengganu hadir majlis Aidilfitri Pas curi tumpuan

UMNO Terengganu hadir majlis Aidilfitri Pas curi tumpuan

MUHAMMAD Pehimi Yusof (tengah) bergambar bersama pemimpin Pas Terengganu semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Negeri Terengganu di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: UMNO Terengganu menzahirkan komitmen untuk memperkukuh hubungan silaturahim dengan Pas walaupun berbeza fahaman politik, selari dengan semangat perpaduan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Muhamad Pehimi Yusof berkata, kehadirannya mewakili kepimpinan UMNO Terengganu pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Terengganu di sini, hari ini menjadi simbol keterbukaan dan hubungan baik antara kedua-dua parti.

Katanya, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat dan Timbalannya, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku tidak dapat hadir kerana menghadiri mesyuarat di Melaka.

“Mereka menyampaikan salam dan berharap hubungan silaturahim antara kedua-dua parti dapat terus diperkukuh walaupun berbeza fahaman politik,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Beliau berkata, sambutan Aidilfitri seharusnya dimanfaatkan sebagai ruang untuk semua pihak saling hormat-menghormati selain mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.

“Terima kasih atas jemputan dan kita doakan program hari ini dirahmati serta dipermudahkan,” ujarnya.

Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohamad; bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Yusof Awang Hitam serta Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putra.

Sementara itu, Pengarah program, Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, penganjuran rumah terbuka tersebut adalah acara tahunan parti yang sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

“Kita melibatkan pelbagai jawatankuasa dan petugas bagi memastikan setiap aspek program berjalan lancar. Program ini menjadi platform untuk merapatkan silaturahim, mengeratkan ukhuwah serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di samping meraikan Syawal dalam suasana penuh kegembiraan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN